Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) mengumumkan bahawa kesemua Ahli Jawatankuasa Eksekutif bagi penggal 2025–2029 telah meletakkan jawatan secara kolektif dan sukarela dengan serta-merta, hari ini.
Menurut kenyataan rasmi FAM, keputusan tersebut dibuat secara sebulat suara tanpa dipengaruhi sebarang kepentingan peribadi atau jawatan, sebaliknya berpaksikan kepada tanggungjawab organisasi susulan situasi semasa yang menjadi perhatian umum.
Jawatankuasa Eksekutif memaklumkan bahawa langkah itu diambil sebagai tindakan berhemah dan berprinsip bagi melindungi integriti serta kredibiliti FAM, selain mengambil tanggungjawab bersama terhadap keperluan untuk bertindak demi kepentingan bola sepak negara.
Antara objektif utama peletakan jawatan itu adalah untuk menjaga reputasi dan kepentingan FAM, mengurangkan risiko yang boleh menjejaskan bola sepak Malaysia secara keseluruhan, serta menegakkan prinsip tadbir urus yang baik dan akauntabiliti, khususnya dalam usaha mengekalkan keyakinan awam.
Selain itu, tindakan tersebut turut bertujuan memberi ruang kepada Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) dan Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) untuk menilai, meneliti dan menangani sebarang isu berkaitan tadbir urus serta hal ehwal pentadbiran FAM secara bebas, tanpa gangguan atau konflik persepsi.
Dalam pada itu, Jawatankuasa Eksekutif menegaskan komitmen mereka untuk terus memberikan kerjasama penuh kepada FIFA, AFC serta semua pihak berkepentingan yang relevan walaupun tidak lagi memegang jawatan, demi kepentingan jangka panjang bola sepak Malaysia.
“Jawatankuasa Eksekutif menegaskan bahawa mereka akan tetap memberikan kerjasama penuh kepada FIFA, AFC dan semua pihak berkepentingan yang relevan sekalipun tidak lagi memegang sebarang jawatan, selain mereka menekankan komitmen masing-masing terhadap kepentingan jangka panjang bola sepak Malaysia,” katanya.
🔗 Source: https://thereporter.my/semua-ahli-exco-fam-letak-jawatan-serta-merta/

Leave a Reply