JAKARTA 29 Jan – Angka korban akibat kejadian tanah runtuh di Bandung Barat, Jawa Barat terus meningkat apabila sebanyak 53 mayat ditemukan setakat ini, ketika operasi mencari dan menyelamat (SAR) memasuki hari kelima pada Rabu.
Ketua Agensi Pengurusan Bencana Nasional (BNPB), Suharyanto berkata, daripada jumlah itu, 35 mangsa sudah dikenal pasti oleh pasukan Pengenalpastian Mangsa Bencana (DVI).
“Semua waris kepada mangsa yang dikenal pasti menerima pampasan daripada Kementerian Hal Ehwal Sosial,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.
Tanah runtuh yang dicetuskan oleh hujan amat lebat itu melanda Kampung Pasir Langu kira-kira jam 2.30 pagi Sabtu lalu, sekali gus menimbus beberapa kawasan kediaman.
Suharyanto berkata, tempoh tindak balas kecemasan disasarkan untuk diselesaikan dalam tempoh dua minggu akan datang dan tidak akan dilanjutkan.
Sementara itu, beliau berkata, BNPB bersama kerajaan tempatan merekodkan sebanyak 48 rumah rosak teruk atau musnah akibat kejadian tanah runtuh berkenaan.
“Agensi Geologi juga sedang mengumpul data bagi menentukan sama ada selain 48 rumah itu, terdapat kediaman lain yang perlu dipindahkan,” katanya sambil memaklumkan agensi berkenaan turut meminta kerajaan tempatan mencari lokasi sesuai bagi tujuan penempatan semula penduduk terjejas.
Beliau berkata, BNPB juga akan menyalurkan bantuan dana perumahan sementara kepada keluarga yang terjejas secara langsung dan kini menumpang di rumah saudara-mara, yang akan diagihkan dari Januari hingga Mac.
“Jika mereka terjejas secara langsung dan perlu tinggal di rumah saudara-mara, itu tidak menjadi masalah. Hak mereka tetap akan dipenuhi. Jika rumah mereka rosak, hilang atau musnah teruk, mereka akan menerima bantuan dana perumahan sementara,” katanya.
🔗 Source: https://www.mediatelus.com/detail/13855

Leave a Reply