6 rangka manusia ditemui dalam rumah terbakar

Ketua Polis Johor, Datuk Ab Rahaman Arsad berkata, bekas suami kepada salah seorang mangsa membuat laporan kehilangan bekas isteri dan empat anaknya pukul 1.28 tengah hari pada 9 Januari lalu.

Menurutnya, lelaki berusia 48 tahun itu membuat laporan polis selepas menemui sendiri rangka manusia di dalam rumah yang musnah dipercayai dibakar adalah ahli keluarganya.

“Si pengadu ini dia sudah berpisah dengan keluarganya, namun dia cuba menjejaki bekas isteri dan anak-anaknya. Apabila dia dapat tahu ada penemuan rangka manusia di dalam rumah berkenaan, dia terus ke lokasi dan mendapati memang ada rangka manusia.

“Si pengadu dapat tahu bekas isteri dan anak-anak pernah tinggal di rumah berkenaan sebab itu dia pergi cari dekat situ dan bila jumpa rangka dia buat laporan penemuan rangka terbabit,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor di sini hari ini.

Ab Rahaman berkata, dengan bantuan pasukan patalogi forensik Hospital Sultanah Aminah (HSA) dan forensik Polis Diraja Malaysia (PDRM) IPK Johor mengesahkan terdapat enam rangka manusia terlibat.

Jelasnya, mereka terdiri daripada seorang wanita yang berusia 35 tahun, seorang remaja perempuan berusia 19 tahun, dua kanak-kanak perempuan berusia sembilan dan lima tahun, seorang kanak-kanak lelaki berusia dua tahun serta seorang lelaki dewasa berusia 29 tahun.

Ab Rahaman berkata, bedah siasat dilakukan pihak forensik percaya mayat dibakar kira-kira tiga bulan lalu.

“Siasatan awal mendapati mereka mempunyai hubungan sebagai rakan penagih. Semakan mendapati kesemua suspek mempunyai rekod jenayah lampau, manakala ujian saringan awal air kencing mendapati tiga daripada mereka positif dadah jenis methamphetamine,” katanya.

Menurut beliau, kertas siasatan telah dirujuk kepada Pejabat Peguam Negara Johor dan keputusan dibuat untuk mendakwa dua suspek lelaki di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Dua lagi suspek dibebaskan dengan bon jaminan polis dan dipanggil sebagai saksi.

“Pertuduhan akan dibuat di Mahkamah Majistret Johor Bahru esok.

“Jika sabit kesalahan, hukuman boleh dikenakan adalah hukuman mati atau penjara tidak kurang 30 tahun dan tidak melebihi 40 tahun serta sebatan tidak kurang daripada 12 kali,” katanya. – KOSMO! ONLINE

🔗 Source: https://www.kosmo.com.my/2026/02/03/6-rangka-manusia-ditemui-dalam-rumah-terbakar/

Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *