‘Kajian Pilihan Raya Datuk Bandar KL bukan dikendalikan orang DAP’ – Hannah

PUTRAJAYA 3 Feb – Kajian berhubung cadangan mengadakan pilihan raya Datuk Bandar Kuala Lumpur kini masih berada pada peringkat awal dan tidak melibatkan sebarang keputusan dasar, selain ditegaskan tidak dijalankan oleh pemimpin politik, sebaliknya oleh institusi akademik yang berwibawa.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh berkata, kajian itu dilaksanakan oleh ahli akademik Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dan tidak membabitkan sebarang pelaksanaan dasar atau pindaan undang-undang setakat ini.

“Saya telah menjelaskan bahawa peringkat ini hanyalah peringkat kajian. Kajian ini dijalankan kerana terdapat Rang Undang-Undang Persendirian yang telah dikemukakan oleh seorang ahli Parlimen Wilayah Persekutuan dalam sidang Parlimen sebelum ini.

“Kajian ini bukan dilaksanakan sekarang, sebaliknya telah bermula sejak bulan Disember semasa mantan Menteri Wilayah. Jangan bimbang, kajian ini dilakukan oleh Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), sebuah universiti yang berwibawa. Kajian ini bukan dilakukan oleh orang DAP, tetapi oleh UIAM yang saya yakin mempunyai kualiti penyelidikan yang tinggi,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas sesi menandatangani Nota Kerjasama antara Jabatan Wilayah Persekutuan dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada Selasa.

Menurut Hannah, sehingga kini pihaknya masih belum menerima hasil kajian berkenaan dan sedang menunggu dapatan penuh daripada pihak UIAM.

“Selepas mendengar hasil kajian sama ada boleh atau tidak boleh dilaksanakan, barulah kita akan menyediakan kertas Kabinet untuk dimaklumkan kepada Kabinet sama ada Jabatan Wilayah Persekutuan perlu meminda akta berkenaan atau tidak.

“Pada masa ini adalah terlalu awal untuk memberi sebarang komen kerana proses kajian masih berjalan,” katanya.

Sebelum ini, Hannah memaklumkan bahawa kajian sedang dijalankan bagi meneliti proses pelaksanaan pilihan raya pihak berkuasa tempatan (PBT) di ibu negara, termasuk pemilihan Datuk Bandar Kuala Lumpur.

Beliau turut menjelaskan, kajian itu bermula sejak Disember lalu susulan Rang Undang-Undang (RUU) Persendirian yang dikemukakan oleh Ahli Parlimen Wilayah Persekutuan pada November 2025 untuk meminda Akta Ibu Kota Persekutuan 1960, bertujuan melaksanakan reformasi tadbir urus Kuala Lumpur.

Sementara itu, semalam Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh berpandangan tiada keperluan untuk mengadakan pilihan raya Datuk Bandar Kuala Lumpur.

Menurutnya, keutamaan lebih mendesak di ibu negara adalah menangani isu miskin bandar serta perumahan mampu milik, berbanding memperkenalkan pilihan raya PBT atau pemilihan Datuk Bandar.

🔗 Source: https://www.mediatelus.com/detail/13935

Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *