Lelaki maut diseret kereta di Lebuhraya LTU

BENTONG 3 Feb – Cubaan seorang lelaki melintas jalan pada awal pagi berakhir tragedi apabila dia dirempuh dan diseret sebuah kereta sejauh kira-kira 10 meter dalam kejadian di Kilometer 13.5 Lebuhraya Lingkaran Tengah Utama (LTU), di sini, pada Isnin.

Dalam kejadian sekitar jam 2.30 pagi, mangsa yang dianggarkan berusia lingkungan 30-an disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah.

Ketua Polis Daerah Bentong, Superintenden Zaiham Mohd Kahar berkata, siasatan awal mendapati sebuah Perodua Myvi sedang dalam perjalanan menghala ke Kuala Lumpur sebelum kemalangan berlaku.

“Ketika tiba di lokasi, seorang pejalan kaki dipercayai melintas secara tiba-tiba dari pembahagi jalan, menyebabkan pemandu gagal mengelak sebelum melanggar dan menyeret mangsa,” katanya.

Menurut beliau, pemeriksaan mendapati mangsa tidak membawa sebarang dokumen pengenalan diri, namun dipercayai merupakan warga tempatan.

“Ketika kejadian, mangsa memakai baju kurta ungu gelap dan seluar jean hitam,” katanya.

Sehubungan itu, polis meminta waris atau individu yang kehilangan ahli keluarga agar tampil ke Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik IPD Bentong bagi membantu proses pengecaman.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987, manakala siasatan lanjut masih diteruskan.

Orang ramai yang mempunyai maklumat atau menyaksikan kejadian diminta menghubungi Pusat Kawalan Daerah Bentong di talian 09-222 2222 atau pegawai penyiasat di 011-616 00964 bagi membantu siasatan.

🔗 Source: https://www.mediatelus.com/detail/13929

Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *