PUTRAJAYA 3 Feb – Aduan rasuah melibatkan penguat kuasa pihak berkuasa tempatan (PBT) akhirnya dijawab apabila anggota penguat kuasa di bawah Jabatan Wilayah Persekutuan (JWP) bakal diwajibkan memakai kamera badan ketika menjalankan operasi bermula suku keempat tahun ini.
Langkah itu akan dilaksanakan secara berperingkat sebagai usaha memperkukuh integriti, ketelusan dan akauntabiliti, khususnya ketika operasi penguatkuasaan di lapangan yang sering menjadi sasaran aduan awam.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh berkata, penggunaan kamera badan merupakan antara empat langkah utama hasil kerjasama strategik antara JWP dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
“Selalu banyak aduan adalah mengenai tabiat rasuah semasa penguat kuasa turun ke lapangan,” katanya selepas majlis menandatangani nota kerjasama JWP–SPRM di sini, hari ini.
Menurut Hannah, kerjasama itu melibatkan semua enam agensi di bawah JWP, dengan fokus kepada perkongsian maklumat, kepakaran pengesanan salah laku, serta penyaluran maklumat berkaitan jenayah rasuah secara berterusan.
Selain pemakaian kamera badan, beberapa langkah pembetulan turut dikenal pasti, termasuk:
Pusingan kerja lebih kerap, terutama di unit sensitif bagi mengelakkan keakraban melampau dengan pihak berkepentingan
Penambahbaikan tatacara perolehan, dengan pelaksanaan sepenuhnya proses sebut harga dan tender secara dalam talian
Penilaian semula penarafan risiko di Pejabat Tanah dan Galian Wilayah Persekutuan
Hannah turut membuka ruang kepada SPRM untuk ditempatkan secara langsung di unit integriti pejabat tanah bagi tujuan pemantauan dan penambahbaikan.
“Kita buka pintu kepada SPRM untuk masuk bersama dan memberikan saranan,” katanya.
Sementara itu, nota kerjasama yang dimeterai turut merangkumi khidmat nasihat bagi memperkemas sistem kerja, selain latihan peningkatan kemahiran dan kompetensi dalam pencegahan rasuah.
Langkah berkenaan dilihat sebagai mesej jelas bahawa penguatkuasaan tidak lagi boleh beroperasi dalam zon selesa, sebaliknya tertakluk kepada pemantauan berterusan demi memulihkan kepercayaan rakyat terhadap pentadbiran bandar.
🔗 Source: https://www.mediatelus.com/detail/13936

Leave a Reply