Penunggang motosikal maut dirempuh kereta selepas hantar isteri ke tempat kerja

MELAKA 3 Feb – Perjalanan pulang seorang penunggang motosikal selepas menghantar isterinya ke tempat kerja bertukar tragedi apabila dia maut dalam kemalangan di Lebuh Alor Gajah–Melaka Tengah–Jasin berhampiran Taman Semabok Perdana, di sini, pagi tadi.

Mangsa, Nur Hafiz Mizal, 21, yang baharu empat bulan menimang cahaya mata disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian kira-kira jam 8.35 pagi akibat kecederaan parah di kepala.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, mangsa yang bekerja sebagai pekerja kilang baru sahaja menghantar isterinya ke tempat kerja di Tengkera sebelum dalam perjalanan pulang ke rumah mereka di Duyong.

“Siasatan awal mendapati sebuah kereta jenis Perodua Alza yang berada di hadapan mangsa telah mengubah haluan secara mengejut.

“Akibatnya, mangsa tidak sempat mengelak lalu melanggar bahagian hadapan kiri kenderaan tersebut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut beliau, pelanggaran itu menyebabkan mangsa terjatuh ke atas jalan raya sebelum disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh petugas perubatan.

Tambahnya, keadaan jalan ketika kejadian adalah lurus, kering dan cuaca baik dengan pencahayaan yang jelas, selain tiada rakaman kamera papan pemuka diperoleh daripada kenderaan terlibat.

“Mayat mangsa dihantar ke Unit Forensik Hospital Melaka untuk bedah siasat manakala kedua-dua kenderaan ditahan bagi pemeriksaan Puspakom,” katanya.

Beliau berkata, pemandu kereta yang merupakan wanita berusia 37 tahun tidak mengalami kecederaan dan ujian saringan air kencing mendapati keputusannya negatif.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

🔗 Source: https://www.mediatelus.com/detail/13944

Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *