Sultan Selangor murka, mahu dalang bakar suar di Jambatan Angkat diberi hukuman maksimum

KUALA TERENGGANU 3 Feb – Individu yang menjadi dalang di sebalik insiden membakar suar dan berarak di Jambatan Angkat Kuala Terengganu sebelum perlawanan Liga Super antara Selangor FC dan Terengganu FC pada Ahad lalu diperintahkan supaya dikenakan tindakan tegas.

Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah menitahkan pihak polis mengenal pasti pelaku utama dan sekiranya terbukti bersalah, mereka yang terlibat perlu dikenakan hukuman setimpal mengikut undang-undang.

Menurut kenyataan Istana Alam Shah pada Selasa, baginda menzahirkan rasa kecewa dan tidak berkenan terhadap kegiatan tidak bermoral seperti budaya samseng dan gangsterisme yang semakin menular dalam kalangan penyokong bola sepak tempatan, khususnya mereka yang memakai jersi Selangor FC.

“Baginda mahu mereka yang terbabit haruslah dihukum dengan hukuman yang maksimum dan setimpal mengikut undang-undang.

“Ia sebagai pengajaran kepada penyokong Selangor FC yang lain supaya insiden seumpamanya tidak berulang,” menurut kenyataan itu.

Dalam kenyataan sama, baginda turut menyeru semua penyokong Selangor FC supaya sentiasa mengawal tingkah laku serta menjaga nama baik pasukan dan negeri.

“Baginda turut mencadangkan penyokong Selangor FC yang disabitkan kesalahan menimbulkan kekacauan, diharamkan daripada masuk ke stadium untuk menghadiri mana-mana perlawanan membabitkan pasukan itu,” jelas kenyataan berkenaan.

Media sebelum ini melaporkan, kesemua penyokong Selangor FC yang ditahan kerana mengganggu ketenteraman awam dan menimbulkan kegusaran kepada masyarakat disiasat mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan.

Tindakan itu diambil selepas kumpulan berkenaan mengeluarkan kata-kata “tak kan nak bakar suar dalam hutan, nak bagi beruk tengok ke” ketika ditanya pihak polis mengenai perbuatan mereka.

Ketua Polis Terengganu, Datuk Mohd Khairi Khairudin berkata, pihaknya turut menjalankan siasatan mengikut kesalahan berkaitan penyalahgunaan dan pemilikan dadah.

Menurutnya, seramai 24 daripada 33 penyokong Selangor FC yang ditahan kerana mengganggu ketenteraman awam di Jambatan Angkat Kuala Terengganu petang semalam didapati positif dadah, termasuk tiga individu yang memiliki ganja dan erimin 5.

Terdahulu, beberapa video tular di media sosial memaparkan penyokong Selangor FC berarak dari arah Bandaraya Kuala Terengganu menuju ke Seberang Takir sambil membawa bendera pasukan serta menyalakan suar ketika berada di atas jambatan berkenaan.

Tindakan tidak beradab dan keterlaluan itu menyebabkan kesesakan lalu lintas teruk serta mengganggu ketenteraman awam ketika orang ramai pulang dari tempat kerja, sekali gus mencetuskan kemarahan masyarakat di negeri berkenaan.

🔗 Source: https://www.mediatelus.com/detail/13941

Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *