KUALA LUMPUR 4 Feb – Sesi Penerangan Khas Parlimen berhubung isu jajaran sempadan Malaysia–Indonesia hari ini bertukar tegang apabila teguran Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim terhadap kenyataan pembangkang mencetuskan kekecohan di Dewan Rakyat.
Dalam sesi itu, Ahli Parlimen Tambun menegaskan bahawa tuduhan pembangkang yang mendakwa beliau mengkhianati negara berhubung isu sempadan perlu diperbetulkan, khususnya apabila kenyataan dibuat dengan nada menghina dan biadab.
“Saya harap walaupun pembangkang tidak menyatakan penghargaan dan terima kasih kepada pegawai kerajaan dan tentera, kenyataan yang dibuat tidaklah menghina atau biadab. Apa yang tidak betul? Termasuk Pendang.
“Ada kenyataan biadab, ada kenyataan yang menuduh saya mengkhianati negara. Ini yang perlu diperbetulkan,” katanya.
Susulan kenyataan itu, Datuk Rosol Wahid (PN–Hulu Terengganu) bangkit membangkitkan Peraturan Dewan 36(12) dengan mendakwa tuduhan Perdana Menteri terhadap pembangkang adalah tidak berparlimen.
“Isunya tuduhan Perdana Menteri yang mengatakan bahawa kami memaki hamun dan bertindak biadab termasuk Pendang, saya rasa ia tidak berparlimen,” katanya.
Beberapa Ahli Parlimen pembangkang lain termasuk Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin (PN–Larut), Wan Ahmad Fayshal Wan Ahmad Kamal (PN–Machang) dan Datuk Awang Hashim (PN–Pendang) turut bangkit menyuarakan bantahan dan tidak bersetuju dengan tuduhan berkenaan.
Rentetan kekecohan itu, Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul mencadangkan supaya perkara berbangkit berhubung kenyataan dan dakwaan tersebut dirujuk kepada Jawatankuasa Pilihan Khas untuk dibincangkan sebelum dibentangkan semula di Parlimen.
🔗 Source: https://www.mediatelus.com/detail/13969

Leave a Reply