Bekas banduan bergelar PhD terima perkenan menghadap Sultan Selangor

Bekas banduan yang mencipta sejarah sebagai prospek pertama di Malaysia memperoleh Ijazah Doktor Falsafah (Ph.D) ketika menjalani hukuman penjara, Dr. Malik bin Yatam, hari ini menerima perkenan menghadap Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.

Menerusi kenyataan Selangor Royal Office, pertemuan yang berlangsung hampir sejam itu disifatkan sebagai penuh hening, sedih dan pilu, sekali gus menjadi pertemuan pertama seumpamanya antara Baginda dengan seorang bekas banduan yang telah menerima pengampunan penuh daripada Sultan Selangor.

Dr. Malik sebelum ini menjalani hukuman Tahanan Limpah Sultan (LTS) selama 24 tahun, iaitu satu hukuman tanpa tarikh pembebasan. Namun, beliau tidak dijatuhkan hukuman mati kerana ketika kesalahan dilakukan, beliau masih di bawah umur 18 tahun.

Menjalani hukuman sejak tahun 2001 pada usia 14 tahun, Dr. Malik akhirnya dibebaskan pada 11 Disember 2024 selepas menerima pengampunan penuh sempena Hari Keputeraan DYMM Sultan Selangor pada tahun sama.

Kini berusia 39 tahun, Dr. Malik berjaya menamatkan pengajian dan memperoleh Ph.D dalam bidang Pentadbiran Perniagaan hasil usaha gigih melanjutkan pelajaran semasa berada di Penjara Kajang.

Dalam pertemuan berkenaan, Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan bertanyakan khabar mengenai perkembangan kehidupan Dr. Malik selepas keluar dari penjara, selain perancangannya untuk masa hadapan.

Baginda turut menzahirkan rasa amat terharu dengan perjalanan hidup Dr. Malik dan berpendirian bahawa beliau layak diberikan peluang kedua untuk membina kehidupan baharu.

Menurut Baginda, keputusan pengampunan tersebut telah dipertimbangkan dengan sebaik mungkin setelah mengambil kira semua faktor yang telah dipersembahkan dalam Mesyuarat Lembaga Pengampunan yang bersidang pada 24 November 2024.

Baginda turut menasihatkan Dr. Malik agar sentiasa menjaga nama baik keluarga serta terus bersemangat dalam memperbaiki taraf hidup.

🔗 Source: https://thereporter.my/bekas-banduan-bergelar-phd-terima-perkenan-menghadap-sultan-selangor/

Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *