Penganjur program Makar Fest XL dikenakan tindakan apabila didapati melanggar syarat lesen hiburan susulan insiden tarian dan pergerakan penonton yang tidak terkawal semasa konsert penutup festival berkenaan pada 31 Januari lalu.
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar Negeri Kelantan, Hilmi Abdullah berkata, hasil penelitian laporan bertulis daripada Pengarah Bahagian Perlesenan dan Kawalan Perniagaan serta rakaman video yang tular, Pegawai Pelesen mendapati penganjur melakukan kesalahan di bawah Seksyen 13(1) Enakmen Kawalan Hiburan dan Tempat-Tempat Hiburan (Kelantan) 2025.
Menurut beliau, susulan pelanggaran syarat lesen serta kegagalan mematuhi Garis Panduan Hiburan dan Sukan Negeri Kelantan 2025, wang cagaran penganjur berjumlah RM8,000 telah dirampas.
“Penganjur juga boleh dikenakan penalti maksimum sehingga RM30,000 dan berisiko disenarai hitam sekiranya gagal menjelaskan kompaun yang dikenakan,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau menjelaskan, insiden berkenaan berlaku semasa persembahan Kugiran Masdo pada konsert penutup sekitar jam 10.30 malam di tapak parkir Mydin Mall Tunjung, selepas festival ekspo jualan dan makanan itu berlangsung selama tiga hari bermula 29 hingga 31 Januari.
Walaupun pihak penguat kuasa berjaya mengeluarkan beberapa penonton yang melakukan provokasi serta melanggar garis panduan hiburan, katanya, keadaan gagal dikawal sepenuhnya oleh penganjur dan perlanggaran terus berulang.
“Penganjur didapati cuai atau gagal menghentikan persembahan bagi mengawal keadaan, selain berlaku percampuran pengunjung lelaki dan wanita tanpa kawalan keselamatan mencukupi seperti yang disyaratkan,” katanya.
Hilmi turut memaklumkan bahawa sepanjang pemantauan, semua artis jemputan lain termasuk Sabri Yunus, Wan Hanafi Su, Zack Budak Kacamata, Budak Nakal Hujung Simpang, Wargaswara serta artis dikir didapati mematuhi sepenuhnya enakmen dan garis panduan yang ditetapkan.
Dalam pada itu, beliau menegaskan Kerajaan Negeri Kelantan memahami keperluan rakyat untuk berhibur dan menyokong penganjuran festival makanan yang mampu menjana pendapatan peniaga kecil serta mempromosikan negeri itu sebagai destinasi pelancongan bertemakan Food, Family, Festival.
“Namun Kerajaan Negeri kekal konsisten dalam memastikan adab, budaya dan akhlak, khususnya dalam kalangan generasi muda, terus dipelihara melalui pematuhan kepada peraturan dan garis panduan hiburan yang ditetapkan,” katanya.
🔗 Source: https://thereporter.my/langgar-garis-panduan-hiburan-penganjur-makar-fest-xl-dikenakan-tindakan/

Leave a Reply