Seorang kanak-kanak lelaki berusia 10 tahun ditemui meninggal dunia dalam keadaan tergantung di sebuah pondok berhampiran pokok cengkih di Kabupaten Ngada, Nusa Tenggara Timur, Indonesia, pada Khamis lalu.
Mangsa yang merupakan murid Tahun Empat di sebuah sekolah rendah tempatan, dipercayai telah meninggalkan sepucuk surat tulisan tangan untuk ibunya sebelum kejadian berlaku. Penemuan surat tersebut menimbulkan persoalan mengenai tekanan hidup yang dihadapi mangsa sejak kecil.
Ketua Bahagian Perhubungan Awam Polis Daerah Ngada, Inspektor Dua Benediktus E Pissort, memaklumkan bahawa siasatan awal mendapati kematian mangsa dipercayai berpunca daripada perbuatan membunuh diri.
Menurut beliau, surat yang ditemui di lokasi kejadian dipercayai kuat ditulis oleh mangsa berdasarkan perbandingan tulisan tangan dalam buku sekolah miliknya.
“Hasil pemeriksaan menunjukkan terdapat persamaan yang jelas antara tulisan dalam surat dan buku latihan mangsa,” katanya.
Bagaimanapun, pihak polis masih meneruskan siasatan lanjut bagi memastikan tiada unsur lain terlibat dalam kejadian tersebut.
🔗 Source: https://thereporter.my/budak-10-tahun-tinggal-surat-terakhir-kepada-ibu/

Leave a Reply