Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), Klang telah berjaya melaksanakan prosedur EXIT (Ex-Utero Intrapartum Treatment) bagi kes janin yang disyaki mengalami masalah saluran pernafasan kongenital atau Congenital High Airway Obstruction Syndrome (CHAOS).
HTAR dalam satu kenyataan memaklumkan, prosedur ini dijalankan di Maternity Operation Theatre (OT), Kompleks Rawatan Ibu & Bayi (KRIBA), HTAR dengan perancangan rapi serta kerjasama erat Pasukan Pelbagai Disiplin (Multidisciplinary Team, MDT).
Pasukan multidisiplin yang terlibat dalam prosedur ini termasuk pegawai dari Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), Klang iaitu Jabatan Obstetrik & Ginekologi yang terdiri daripada Dr. Anizah Aishah binti Rosli, Dr. Nabilah binti Abd Rahim dan Dr. Fathi bin Ramly. Selain itu, Jabatan Pediatrik/Neonatologi yang diwakili oleh Dr. Lee Von Yen turut terlibat.
Dalam aspek anestesiologi dan rawatan rapi, Dr. Mohd Rohisham bin Zainal Abidin dan Dr. Mohd Fakhri Hilmi bin Danial dari unit dewasa, serta Dr. Lee Chooi Pheng dari unit pediatrik memberikan sokongan sepenuhnya. Jabatan Otorinolaringologi (ENT) turut memainkan peranan penting melalui Dr. (Ms.) Chitra Banu a/p Krishnan dan Dr. (Ms.) Santhi a/p Kalimuthu.
Selain itu, kerjasama dari Hospital Sultan Idris Shah (HSIS), Serdang melalui Jabatan Otorinolaringologi (ENT) yang diwakili oleh Dr. (Ms.) Nor Hafiza Binti Qualickuz Zanan telah memperkukuh keberkesanan prosedur ini.
Kejayaan pelaksanaan prosedur EXIT ini menandakan pencapaian penting dalam perkhidmatan perinatal berisiko tinggi di HTAR.
“Kejayaan prosedur EXIT ini merupakan satu pencapaian penting dalam perkhidmatan perinatal berisiko tinggi di HTAR, hasil profesionalisme, koordinasi berkesan dan komitmen tinggi semua disiplin terlibat demi keselamatan ibu dan bayi.
“Setinggi-tinggi tahniah dan penghargaan kepada pasukan MDT, pasukan dewan bedah serta semua pihak yang terlibat. Semoga kejayaan ini terus memperkukuh perkhidmatan kepakaran dan kualiti penjagaan ibu dan bayi di HTAR,” katanya.
🔗 Source: https://thereporter.my/htar-capai-kejayaan-ketiga-prosedur-exit-bagi-kes-janin-chaos/

Leave a Reply