JKNJ sahkan satu kluster Tibi di Kota Tinggi, 33 kes dikesan

Jabatan Kesihatan Negeri Johor (JKNJ) mengesahkan satu kluster Tuberkulosis (Tibi) sedang tular di daerah Kota Tinggi.

Menurut maklumat daripada Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Kota Tinggi, kejadian wabak Tibi ini telah dikenal pasti pada 25 Januari 2026. Sehingga 4 Februari 2026 dengan seramai 33 kes telah dikesan melalui aktiviti pengesanan kes secara aktif terhadap 804 orang kontak rapat. Semua pesakit telah menerima rawatan dan sedang menjalani pemantauan rapi di fasiliti kesihatan berdekatan.

Satu kematian dilaporkan dalam kalangan pesakit, namun pihak JKNJ mengesahkan kematian tersebut bukan disebabkan oleh penyakit Tibi.

Tibi merupakan penyakit berjangkit yang berpunca daripada Mycobacterium tuberculosis dan merebak melalui udara kepada individu yang berada dalam jarak dekat. Antara gejala penyakit Tibi yang perlu diwaspadai ialah batuk berpanjangan, kehilangan berat badan secara mendadak, hilang selera makan, berpeluh pada waktu malam, dan batuk berdarah.

JKNJ menekankan bahawa Tibi boleh dicegah dan disembuhkan sepenuhnya melalui rawatan yang efektif dengan tempoh minimum 6 bulan.

Jabatan Kesihatan Negeri Johor menasihatkan penduduk yang tinggal di kawasan terlibat dan sekitarnya, khususnya mereka yang mengalami gejala batuk berpanjangan atau mempunyai sejarah kontak dengan pesakit Tibi, supaya segera menjalani saringan kesihatan di fasiliti kesihatan berhampiran bagi membendung penularan penyakit ini.

🔗 Source: https://thereporter.my/jknj-sahkan-satu-kluster-tibi-di-kota-tinggi-33-kes-dikesan/

Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *