Seorang pendakwah terkenal direman selama satu hari oleh Mahkamah Majistret Sungai Petani, hari ini, bagi membantu siasatan berhubung kes penyelewengan dana melibatkan sebuah pusat pengajian agama terkemuka.
Perintah reman itu dikeluarkan oleh Majistret Noor Fadlina Musa selepas membenarkan permohonan yang dikemukakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Memetik laporan Harian Metro, pendakwah berkenaan yang juga pengasas kepada sebuah pusat pengajian agama terkenal di daerah Kuala Muda ditahan ketika hadir memberi keterangan di Pejabat SPRM Sungai Petani, semalam.
Difahamkan, individu terbabit sebelum ini pernah disiasat SPRM berhubung dakwaan mengutip dana awam serta melakukan penyelewengan kutipan derma untuk kegunaan peribadi.
Pendakwah tersebut disyaki mengambil sejumlah komisen daripada kutipan derma bagi tujuan pembelian aset dan kenderaan mewah.
Bagaimanapun, pihak SPRM masih belum mengeluarkan kenyataan rasmi berhubung perintah reman berkenaan.
Terdahulu, beberapa hantaran tular di media sosial mendakwa seorang pendakwah terkenal dikaitkan dengan penyelewengan dana melibatkan sebuah pusat pengajian agama di kawasan utara tanah air.
🔗 Source: https://thereporter.my/pendakwah-terkenal-direman-bantu-siasatan-penyelewengan-dana-pusat-pengajian/

Leave a Reply