RM150 juta baki SARA 2025 tak dituntut disalur semula kepada golongan rentan

KUALA LUMPUR 5 Feb – Baki peruntukan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) secara sekali bayar 2025 berjumlah RM150 juta yang tidak dibelanjakan atau dituntut sehingga 31 Disember lalu, akan disalurkan semula kepada golongan memerlukan.

Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan, berkata bagi pelaksanaan SARA sekali bayar tahun lalu, sebanyak 96 peratus atau 21 juta penerima direkodkan telah berbelanja di pasaran tempatan dengan nilai transaksi melebihi RM2.05 bilion.

Menurutnya, baki empat peratus atau RM150 juta yang tidak digunakan itu akan diagihkan kepada empat kumpulan sasaran utama.

“Kedua, kita akan agihkan kepada pelajar orang kurang upaya (OKU) dan pelajar berkeperluan khas di bawah Kementerian Pendidikan (KPM).

“Ketiga, pembelian peranti perubatan untuk pesakit miskin di bawah Kementerian Kesihatan (KKM) dan keempat, penubuhan bank masakan dapur siswa dengan peruntukan khusus sebanyak RM15 juta di bawah Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT).

“Pengagihan semula dana ini bukan sahaja memastikan keterusan pengurusan kewangan awam malah memperkukuhkan jaringan keselamatan sosial negara,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sesi Waktu Pertanyaan Menteri (MQT) di Dewan Rakyat hari ini bagi menjawab soalan Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa (PH-Sekijang).

Dr Zaliha meminta Menteri Kewangan menyatakan jumlah peruntukan SARA melalui sistem MyKasih yang dibelanjakan sepanjang 2025, nilai transaksi sebenar dijana dalam pasaran tempatan, status baki bantuan yang tidak dibelanjakan sehingga tarikh luput 31 Disember 2025 serta pelan penambahbaikan bagi tahun 2026.

Pada masa sama, Amir Hamzah berkata penyaluran semula dana kepada kumpulan rentan seperti mangsa keganasan rumah tangga, OKU dan pesakit miskin mencerminkan keutamaan kerajaan terhadap prinsip keadilan sosial dan kemanusiaan.

Beliau berkata, langkah itu turut membuktikan keupayaan kerajaan mengurus dana awam secara fleksibel dan responsif mengikut keperluan semasa.

“Ia turut mencerminkan pendekatan kerajaan yang lebih bersasar dan inklusif dalam menangani isu kebajikan sosial,” katanya.

Dalam pada itu, beliau memaklumkan semakan kelayakan SARA boleh dibuat mulai hari ini menerusi portal https://SARA.gov.my/.

Katanya, permohonan SARA akan diproses dalam tempoh dua minggu selepas semua dokumen lengkap diterima.

Dalam perkembangan berkaitan, Amir Hamzah berkata Kementerian Kewangan (MOF) sedang mempertimbangkan cadangan untuk membenarkan makanan sejuk beku sebagai kategori baharu yang boleh ditebus menggunakan SARA.

“Kita melakukan penambahbaikan berterusan yang dibuat melalui kategori barangan yang ditambah kepada 14 pada 2025 berbanding 10 dalam tahun 2024.

“Bagi barangan basah pula, kerajaan masih menjalankan kajian lanjut bagi memastikan aspek kualiti, keselamatan makanan, dan jaminan kepada pengguna dapat dipelihara sebelum sebarang keputusan dapat dimuktamadkan,” katanya.

🔗 Source: https://www.mediatelus.com/detail/13994

Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *