APAKAH hukum jika seorang perempuan menjual susunya?
JAWAPAN: PERSOALAN mengenai hukum menjual susu manusia ini menjadi khilaf dalam kalangan para ulama. Kami nukilkan di sini pendapat-pendapat para fuqaha terhadap permasalahan ini.
Pertama dibolehkan secara mutlak. Ini merupakan pendapat dalam kalangan al-Malikiyyah, al-Syafi’eyyah dan ia merupakan satu pendapat di dalam mazhab al-Hanabilah.
Dibolehkan secara mutlak untuk menjual susu ibu di sini bermaksud sama ada susu itu daripada perempuan yang merdeka atau dalam kalangan hamba.
Kedua, tidak dibolehkan secara mutlak. Ini merupakan pendapat al-Hanafiah dan Abu al-Qasim al-Anmati dalam kalangan al-Syafi’eyyah. Ia juga adalah pendapat kedua daripada mazhab al-Hanabilah.
Ketiga makruh, ini merupakan pendapat al-Imam Ahmad bin Hanbal Rahimahullah.
Keempat, dibolehkan hanya untuk susu dalam kalangan hamba perempuan. Ini merupakan pendapat al-Qadhi Abu Yusuf dalam kalangan al-Hanafiah, dan ia juga merupakan pendapat sebahagian al-Hanabilah.
Kesimpulannya, melihat kepada pendapat-pendapat sedia ada, dan setelah penelitian dijalankan, kami lebih cenderung mengatakan bahawa tidak dibenarkan susu ibu dijual. Kami nukilkan di sini dalil serta alasan bagi menyokong pendapat kami.
Pertama, sesungguhnya manusia itu dimuliakan oleh syarak dan tidak ada seorang pun yang mengingkarinya baik dalam kalangan ulama yang membolehkan susu ibu dijual mahupun mereka menghalangnya.
Kedua, manusia bukanlah seperti harta yang boleh dijual beli. Manusia juga tidak boleh dijadikan pemberian dan disedekahkan. Ini juga telah disepakati oleh para ulama, di mana manusia tidak boleh diperlakukan seperti harta.
Ketiga, pendapat yang mengatakan dibenarkan untuk menjual susu ibu kerana ia bersih dan bermanfaat diqiyaskan dengan menjual minuman-minuman bersih dan bermanfaat.
Maka kita katakan di sini bahawa susu ibu adalah minuman yang menjadi kemestian (darurat) buat bayi. Minuman-minuman yang lain tidak dapat menggantikan kedudukan susu ibu terhadap bayi meskipun ia boleh diminum. Maka qiyas ini kami katakan tidak berapa tepat.
Keempat, pendapat yang mengatakan boleh dijual susu ibu dengan qiyas ke atas keharusan menjual susu kambing adalah qiyas ma’a al-faariq. Ini kerana, manusia adalah pemilik kepada kambing, manakala kambing pula dimiliki, dan kedua-duanya mempunyai perbezaan. Daging manusia haram untuk dimakan, manakala daging kambing boleh dimakan.
Manusia pula dimuliakan oleh syarak ketika hidup ataupun setelah matinya, manakala kambing, syarak membenarkan untuk diambil manfaat daripadanya.
Lebih dari itu, susu ibu terkait padanya hukum-hakam terperinci yang tidak terdapat pada susu kambing seperti haram berkahwin dengan saudara sesusuan. Oleh itu, qiyas sebegini tidak diambil kira.
Kelima, pendapat mengatakan segala sesuatu yang bermanfaat, maka boleh dijual adalah pendapat secara mutlaknya tidaklah tepat.
Jika diperhatikan, segala yang diharamkan oleh syarak tidaklah menafikan manfaat yang ada padanya.
Sebagai contoh, arak secara saintifiknya terdapat manfaat padanya, namun syarak tidak membenarkan untuk ia dijual.
Oleh itu, syarat bagi sesuatu untuk dibolehkan kegunaannya mestilah sesuatu itu halal dan dibolehkan pada zatnya. Jika padanya terdapat manfaat walaupun sedikit, maka dibolehkan untuk kegunaannya. Namun ia untuk mereka yang mempunyai pemilikan asal terhadap sesuatu itu.
Lebih membimbangkan, penjualan susu ibu berleluasa tanpa adanya sistem mengawalnya boleh mengakibatkan percampuran nasab dan membawa umat Islam terjebak dalam keraguan dan perkara haram.
Sebagai contoh, seseorang tidak dapat mengenal pasti siapa saudara sesusuannya, dan boleh terjadi perkahwinan sesama saudara susuan yang mana jelas pengharamannya di dalam Islam.
Ini menjadi penguat kepada tidak dibenarkan untuk susu manusia dijual kerana melihat kepada maqasid al-syar’iyyah iaitu hifz al-nasl (menjaga keturunan) dan sad al-Zari’ah.
🔗 Source: https://www.kosmo.com.my/2026/02/06/hukum-menjual-susu-ibu-untuk-bayi/

Leave a Reply