KUALA LUMPUR 6 Feb – Human Resource Development Corporation (HRD Corp) menggantung tugas tiga anggota pengurusan tertinggi susulan pendedahan dan syor serius yang dibangkitkan menerusi laporan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC), Ketua Audit Negara serta siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Tindakan tegas itu diambil berdasarkan penemuan berkaitan pengurusan levi tidak digunakan, pemerolehan Menara Ikhlas, selain pengendalian pelaburan ekuiti HRD Corp yang mencetuskan kebimbangan terhadap tahap tadbir urus agensi berkenaan.
HRD Corp turut mengesahkan penemuan terkini melibatkan Sistem Teras Baharu (NCS) bernilai RM14 juta yang masih gagal disiapkan walaupun telah tertangguh lebih empat tahun, termasuk melalui tiga kegagalan Ujian Penerimaan Pengguna (UAT).
Ketua Eksekutif HRD Corp, Datuk Shamir Aziz, berkata langkah penggantungan itu adalah sebahagian daripada usaha pemulihan dan pengukuhan tadbir urus, selari dengan aspirasi Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Ramanan Ramakrishnan, yang menekankan keperluan integriti, ketelusan dan akauntabiliti lebih tinggi dalam institusi berkaitan tenaga kerja.
“Langkah ini penting bagi memastikan pengurusan HRD Corp memberi impak positif kepada majikan dan tenaga kerja negara, selaras dengan semangat ‘Madani Bekerja’,” katanya.
Menurut beliau, HRD Corp akan melaksanakan siasatan dalaman secara telus dan berintegriti, dengan mandat, skop serta terma rujukan yang jelas, melibatkan semakan dokumen, rekod kewangan, kelulusan, minit mesyuarat dan jejak audit berkaitan.
“Siasatan ini juga merangkumi pengambilan keterangan serta pengesahan fakta daripada pegawai terlibat, tertakluk kepada prinsip keadilan asasi dan keperluan kerahsiaan,” katanya.
Untuk rekod, dalam minggu pertama pelantikan Ketua Eksekutif baharu, HRD Corp berjaya memperoleh penyelesaian kira-kira 18 peratus daripada portfolio pelaburan berstruktur yang tertunggak, dengan pulangan mencecah RM151.8 juta.
Perkembangan itu disifatkan sebagai petunjuk awal pemulihan pantas, selain langkah memperkukuh jaminan dan perlindungan terhadap pelaburan yang dibuat menggunakan dana levi majikan.
Dalam masa sama, HRD Corp memaklumkan penambahbaikan tadbir urus turut melibatkan ketetapan baharu bahawa program latihan yang diluluskan hanya boleh dilaksanakan selepas tempoh minimum antara 21 hari hingga tiga bulan dari tarikh kelulusan.
Menurutnya, tempoh tersebut penting bagi membolehkan majikan dan penyedia latihan membuat perancangan lebih tersusun termasuk tempahan lokasi, pendaftaran peserta dan penyelarasan logistik.
HRD Corp mengakui sebelum ini ketiadaan pemantauan sistematik terhadap program latihan yang diluluskan telah melemahkan kawalan serta pengawasan tadbir urus, sekali gus membuka ruang kepada kelemahan pengurusan dana.
🔗 Source: https://www.mediatelus.com/detail/14014

Leave a Reply