PUTRAJAYA 6 Feb – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan Pengerusi IJM Corporation Berhad bagi membantu siasatan berhubung isu tadbir urus korporat, proses perolehan, transaksi kewangan serta pemilikan aset di luar negara yang dianggarkan bernilai RM2.5 bilion.
Menurut sumber, suspek lelaki berusia lingkungan 70-an itu ditahan kira-kira jam 7 malam Khamis di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya selepas kediamannya dibongkar dalam satu operasi khas.
“Siasatan melibatkan pemeriksaan dan penggeledahan di tiga lokasi baharu, termasuk sebuah institusi pengurusan dana dan pelaburan, sebuah bank pelaburan serta kediaman suspek,” kata sumber itu.
Menurutnya, siasatan awal mendapati bank pelaburan terbabit telah dilantik untuk menguruskan proses tawaran pengambilalihan ke atas IJM Corporation Berhad, termasuk urusan kawal selia bersama sebuah badan berkanun biaya kendiri.
Difahamkan, Bahagian Operasi Khas (BOK) SPRM telah memulakan siasatan sejak 19 Januari lalu, melibatkan dakwaan penyelewengan berkaitan tadbir urus korporat, proses perolehan, transaksi kewangan serta pemilikan aset bernilai RM2.5 bilion di luar negara, yang berpotensi melibatkan kesalahan di bawah peruntukan undang-undang berkaitan.
Sehubungan itu, SPRM turut membekukan 70 akaun bank persendirian dan syarikat yang dipercayai berkaitan dengan kes berkenaan, melibatkan jumlah kira-kira RM30.6 juta.
Tambah sumber, siasatan kini memberi tumpuan kepada usaha mengesan dan menyita aset-aset lain yang disyaki diperoleh melalui aktiviti pengubahan wang haram, selain merakam keterangan saksi.
“Setakat ini, seramai 15 saksi, termasuk isteri suspek, telah dipanggil untuk dirakam percakapan,” katanya.
Sementara itu, Pengarah Kanan Bahagian Operasi Khas (BOK) SPRM, Datuk Mohamad Zamri Zainul Abidin ketika dihubungi mengesahkan penahanan berkenaan.
Menurut beliau, fokus siasatan menjurus kepada kesalahan di bawah Seksyen 16 Akta SPRM 2009 serta Seksyen 4(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA 2001).
Bagaimanapun, beliau memaklumkan suspek telah dilepaskan dalam tempoh 24 jam selepas keterangannya diambil, memandangkan suspek turut mempunyai masalah kesihatan.
🔗 Source: https://www.mediatelus.com/detail/14022

Leave a Reply