KUALA LUMPUR 6 Feb – Polis mengesahkan sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) yang tular kerana menggunakan siren dan lampu pandu arah di sebuah lebuh raya di sini sebenarnya mempunyai kebenaran sah daripada Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Mohd Zamzuri Mohd Isa berkata, pihaknya sudah mengenal pasti MPV terbabit termasuk pemilik kenderaan berkenaan.
Hasil semakan mendapati kenderaan itu telah mendapat kelulusan daripada JPJ bagi penggunaan isyarat amaran berkenaan.
“Kenderaan berkenaan adalah kenderaan yang digunakan atas tugas rasmi sebuah kementerian.
“Penggunaan ‘beacon’ dan siren juga sudah mendapat kelulusan daripada Ketua Pengarah JPJ,” katanya dalam kenyataan ringkas di sini, hari ini.
Beliau berkata, pihaknya juga akan memanggil kenderaan terbabit dalam masa terdekat bagi tujuan pemeriksaan lanjut.
Semalam, media melaporkan polis sedang mengesan pemandu sebuah MPV yang dirakam menggunakan siren dan lampu pandu arah di sebuah lebuh raya di sini, baru-baru ini.
Mohd Zamzuri sebelum ini dipetik berkata, nombor pendaftaran kenderaan dalam rakaman video tular itu tidak dapat dipastikan.
Terdahulu, satu klip video berdurasi satu minit tiga saat tular di media sosial memaparkan sebuah MPV berwarna putih menggunakan siren dan lampu pandu arah seolah-olah kenderaan polis di laluan yang sesak.
🔗 Source: https://www.mediatelus.com/detail/14023

Leave a Reply