KUALA LUMPUR 6 Feb – Lebih 155,000 warga asing telah tampil menyertai Program Repatriasi Migran 2.0 (PRM 2.0) setakat ini, dengan lebih 138,000 individu sudah dihantar pulang ke negara asal masing-masing.
Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Datuk Lokman Effendi Ramli berkata, pelaksanaan program berkenaan turut memberi pulangan kepada negara apabila hasil kompaun yang dikutip mencecah lebih RM77 juta.
Menurut beliau, warganegara Bangladesh merekodkan penyertaan tertinggi dalam program itu, diikuti oleh Indonesia, dengan kebanyakan peserta hadir secara sukarela selepas dimaklumkan lebih awal mengenai pelaksanaan PRM 2.0.
“Kebanyakan warga asing yang datang adalah atas kerelaan sendiri. Program ini telah diwar-warkan sejak tahun lalu dan mereka mengambil peluang untuk pulang secara sah ke negara masing-masing,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas satu operasi penguatkuasaan JIM di sebuah pusat beli-belah di sini, malam tadi.
Dalam pada itu, Lokman mengingatkan warga asing yang masih berada di negara ini tanpa pas atau permit sah supaya segera menyertai PRM 2.0 sebelum program itu ditutup.
“Program ini masih dibuka sehingga April. Sekiranya gagal mengambil peluang ini, mereka akan berdepan tindakan undang-undang,” tegasnya.
PRM 2.0 dilaksanakan bermula 19 Mei 2025 hingga 30 April 2026, khusus untuk Semenanjung Malaysia dan Wilayah Persekutuan Labuan.
Di bawah program tersebut, kerajaan menetapkan kompaun RM500 bagi kesalahan masuk dan tinggal tanpa pas atau permit sah serta tinggal lebih masa, manakala RM300 dikenakan bagi kesalahan melanggar syarat pas. Selain itu, bayaran RM20 dikenakan bagi pengeluaran Pas Khas.
Bagaimanapun, program ini tidak terbuka kepada individu yang disenarai hitam, mempunyai waran tangkap, dikehendaki pihak berkuasa atau mereka yang pernah mendaftar PRM sebelum ini tetapi gagal keluar dari negara ini.
Mengulas lanjut, Lokman menyifatkan jumlah penyertaan semasa adalah tinggi dan menjangkakan angka itu akan terus meningkat menjelang tarikh akhir, berdasarkan trend program-program repatriasi terdahulu.
“Biasanya apabila menghampiri tempoh tamat, jumlah penyertaan akan bertambah. Kita jangka angka ini akan terus meningkat menjelang April nanti,” katanya.
🔗 Source: https://www.mediatelus.com/detail/14012

Leave a Reply