Ramai keliru, saya asal Sabah, bukan kerabat – Natasha Ozeir

KUALA LUMPUR – Usahawan jelita Natasha Ozeir tampil menjelaskan perkara sebenar yang sering disalah tafsir sebilangan pihak apabila ramai beranggapan dirinya datang daripada keluarga golongan kerabat diraja.

Natasha atau nama lengkapnya, Natasha Mohammad Ozeir, 40, berkata, dia bagaimanapun mempunyai hubungan yang sangat rapat dengan Keluarga Diraja Pahang disebabkan beberapa faktor.

Menurut pengasas jenama minuman Richman Coffee itu, dia merupakan anak jati Sabah. Ibu kandungnya berasal dari Negeri di Bawah Bayu itu dan berkahwin dengan Allahyarham bapanya yang berketurunan Lubnan.

“Ramai orang terkeliru. Mak saya ialah orang Sabah, arwah ayah pula dari Lubnan. Arwah ayah saya berkahwin dengan kakak Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang merupakan ibu tiri saya.

“Secara peribadi, saya sangat rapat dengan keluarga kerabat Pahang. Hubungan dengan keluarga tiri saya pun sangat baik.

“Saya faham bila ramai orang salah sangka tapi, dekat profil saya selalu nyatakan yang ‘I’m a proud Sabahan’ tapi pada masa saya, saya sangat bersyukur dengan keluarga tiri. Mereka sangat-sangat baik dan suportif,” katanya kepada Kosmo! Online pada temu bual khas bersama media sempena memperkenalkan audio siar kendaliannya, Habis Cerita Podcast hari ini.

Podcast tersebut turut dikemudikan bersama dengan dua rakan artis, Datuk Seri Rossa dan Nora Danish.

Jelas Natasha lagi, dia tidak meletakkan kesalahan kepada masyarakat yang masih keliru tentang statusnya lantas membuatkan mereka berasa takut untuk mendekatinya.

“Kerabat diraja Pahang sangat-sangat baik. Macam tempoh hari bila saya sakit di Singapura, semua orang datang melawat.

“Saya dikelilingi dengan orang yang baik-baik. Orang selalu salah sangka saya golongan kerabat apa semua, tapi saya tak salahkan mereka.

“Sejujurnya, keluarga saya ada di mana-mana—keluarga saya secara peribadi (dari Sabah), sepupu saya tinggal di Stanford, California, ada yang di New York, di Los Angeles dan ada juga yang menetap di Switzerland. Mereka ada di mana-mana.

“Jadi di Kuala Lumpur, saya selalu ada dengan keluarga Pahang. Mungkin saya selalu di Semenanjung, ramai yang fikir saya kerabat dan sebagainya tapi sebenarnya tidak,” katanya.

Bercerita tentang Habis Cerita, Natasha memaklumkan, podcast terbabit akan menjemput ramai tetamu khas daripada pelbagai latar belakang dan membincangkan tentang topik-topik istimewa.

“Tak tahu kalau kalian tahu, sebelum ini saya ada buat podcast dengan Neelofa dan Nora.

“Kita cuma nak sambung buat podcast dengan Rossa sertai juga. Kebetulan idea tercetus masa kami di Bali, Indonesia menyambut persahabatan kami bertiga.

“Saya berharap podcast ini akan memberi manfaat kepada semua orang—supaya orang boleh belajar sesuatu daripada apa yang kami bincangkan,” katanya.

Menurut Natasha lagi, para tetamu jemputan adalah terdiri daripada ahli politik, golongan kenamaan, sosialit, selebriti dan bahkan—mereka yang berkerja sebagai pelayan restoran.

“Saya juga nak tahu cerita tentang pengawal keselamatan dari Nepal. Mesti ada kisah yang ingin dikongsikan. Insya-Allah kita juga boleh belajar sesuatu daripada semua ini,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE

🔗 Source: https://www.kosmo.com.my/2026/02/06/ramai-keliru-saya-asal-sabah-bukan-kerabat-natasha-ozeir/

Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *