KUALA LUMPUR 6 Feb – Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr. Zulkifli Hasan mengakui berasa sedih dengan situasi yang tercetus di Parlimen baru-baru ini, sambil menyeru semua pihak agar kembali mengutamakan empati, adab dan sikap saling menghormati dalam apa jua perjuangan.
Walaupun tidak menyatakan secara khusus insiden yang dimaksudkan, beliau menegaskan bahawa perbezaan pandangan tidak seharusnya membawa kepada penghinaan atau kebencian antara sesama manusia.
Menerusi satu kenyataan di media sosial, Zulkifli berkata, situasi tersebut mengingatkannya kepada pertemuan bersama tokoh ilmuwan Islam antarabangsa, Dr. Abdal-Hakim Murad, atau nama asalnya Timothy John Winter.
Menurut beliau, ilmuwan berkenaan pernah menasihati bahawa empati perlu dizahirkan bukan sahaja terhadap sesama Muslim, malah kepada bukan Muslim, kerana semua manusia berasal daripada keturunan yang sama, iaitu Nabi Adam AS.
“Cubalah berempati dengan orang lain dan melihat keadaan mereka dari sudut pandang mereka, sama ada Muslim atau bukan Muslim. Layan semua dengan hormat kerana kita berasal daripada bapa yang sama, Nabi Adam AS,” katanya memetik nasihat tersebut.
Zulkifli turut menegaskan bahawa Islam mengajar umatnya agar tidak membenci golongan yang belum beriman, sebaliknya mendekati mereka dengan rasa belas ihsan dan kefahaman.
“Jangan membenci orang yang tidak beriman, sebaliknya kasihanilah mereka, kerana dalam kebanyakan keadaan kekufuran mereka berpunca daripada kejahilan, yang mungkin juga berpunca daripada kelemahan kita sendiri,” katanya lagi.
Dalam kenyataan sama, beliau menegaskan bahawa akhlak dan adab tidak pernah melemahkan perjuangan, sebaliknya akan mengangkat martabat serta nilai usaha yang diperjuangkan.
Beliau turut menggalakkan masyarakat supaya membaca buku Nahnu Du‘at La Qudhat (Pendakwah Bukan Penghukum) karya Syeikh Hasan Ismail al-Hudaibi sebagai panduan dalam berdakwah serta membina kefahaman yang lebih berhikmah.
Mengakhiri kenyataannya, Zulkifli menyeru semua pihak agar mengetepikan perbezaan dan terus bersatu demi membina negara.
“Jom semua, kita terus fokus bina negara sedaya upaya,” katanya.
🔗 Source: https://www.mediatelus.com/detail/14016

Leave a Reply