KUALA LUMPUR 7 Feb – Polis Diraja Malaysia (PDRM) memutuskan untuk tidak membenarkan Perhimpunan Gerakan Anti Rumah Anutan Haram (GARAH) yang dirancang berlangsung di kompleks membeli-belah Sogo malam ini, susulan penilaian risiko keselamatan serta kebimbangan terhadap ketenteraman awam.
Menurut Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus, pihak polis menerima surat pemakluman daripada penganjur pada 3 Februari lalu mengenai hasrat mengadakan perhimpunan aman itu pada pukul 8.00 malam, hari ini.
Susulan pemakluman tersebut, beliau berkata polis telah menjalankan risikan keselamatan dan mendapatkan maklum balas daripada pihak berkepentingan termasuk pemilik premis sekitar lokasi berkenaan, selain mengadakan perbincangan bersama penganjur pada 5 Februari lalu.
Bagaimanapun, pada 6 Februari, polis menerima surat bantahan daripada pengurusan Kompleks Sogo, Pertama Kompleks, Harissons serta premis sekitar yang menyuarakan kebimbangan terhadap keselamatan pelanggan memandangkan kawasan berkenaan dijangka sesak sempena musim perayaan.
“Polis turut menerima maklumat bebas yang menunjukkan kemungkinan berlakunya pecah keamanan serta ancaman keselamatan kepada orang ramai ekoran jangkaan kehadiran ramai pengunjung di kawasan berkenaan.
“Setelah membuat pertimbangan dan risikan keselamatan, pihak polis menjangkakan perhimpunan ini boleh menyebabkan kemudaratan kepada orang awam, justeru keputusan dibuat untuk tidak membenarkan penganjur meneruskan perhimpunan tersebut,” katanya dalam kenyataan pada Sabtu.
Dalam pada itu, Fadil menasihatkan orang ramai supaya tidak menghadiri perhimpunan berkenaan dan memberi amaran bahawa tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pihak yang cuba mencetuskan kekacauan atau mengganggu keselamatan awam.
Beliau turut menegaskan bahawa polis akan terus memastikan keselamatan serta kesejahteraan awam sentiasa menjadi keutamaan di kawasan tersebut.
🔗 Source: https://www.mediatelus.com/detail/14029

Leave a Reply