22 juta rakyat Malaysia boleh guna Sara RM100 bermula esok

PETALING JAYA – Seramai 22 juta pemegang MyKad berusia 18 tahun ke atas boleh mula menggunakan bantuan Sumbangan Asas Rahmah (Sara) bernilai RM100 secara one-off bermula esok.

Kementerian Kewangan dalam satu kenyataan berkata, inisiatif di bawah Kerajaan Madani itu dilaksanakan sebagai usaha berterusan bagi meringankan kos sara hidup rakyat selain memastikan kebajikan dan kesejahteraan mereka terus terpelihara.

“Melalui program Sara Untuk Semua, penerima hanya perlu membawa MyKad untuk membuat pembelian barangan keperluan asas yang disenaraikan di bawah skim berkenaan.

“Kemudahan tersebut boleh digunakan di lebih 10,000 kedai runcit dan pasar raya terpilih di seluruh negara yang mengambil bahagian dalam program berkenaan.

“Orang ramai boleh menyemak kelayakan serta mendapatkan maklumat lanjut mengenai Sara melalui laman web rasmi di sara.gov.my,” katanya, hari ini.

Terdahulu, media melaporkan kerajaan mengumumkan pemberian semula Sara sebanyak RM100 kepada 22 juta rakyat Malaysia berusia 18 tahun ke atas, yang dijadualkan disalurkan pada pertengahan Februari ini.

Perdana Menteri berkata, bantuan tersebut bertujuan membantu rakyat membuat persiapan awal menjelang bulan Ramadan dan sambutan Tahun Baharu Cina.

Sementara itu, bayaran Sumbangan Tunai Rahmah (STR) fasa 1 pula sebanyak RM500 telah dikreditkan bermula 20 Januari lalu. – KOSMO! ONLINE

🔗 Source: https://www.kosmo.com.my/2026/02/08/22-juta-rakyat-malaysia-boleh-guna-sara-rm100-bermula-esok/

Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *