Letupan mercun punca kebakaran unit tingkat lapan pangsapuri

Satu insiden kebakaran yang tular di media sosial malam tadi disahkan berpunca daripada letupan mercun yang disimpan di dalam sebuah unit kediaman di tingkat lapan Residensi Adelia, Persiaran Bangi Avenue, Kajang.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ahmad Mukhlis Mukhtar, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu sekitar jam 10.42 malam sebelum mengerahkan anggota ke lokasi.

Menurut beliau, kebakaran melibatkan sebuah rumah jenis apartmen berkeluasan 60 x 20 kaki persegi.

“Kebakaran berlaku di tingkat lapan dan memusnahkan kira-kira 80 peratus bahagian bilik yang mengandungi bahan letupan iaitu mercun. Bagaimanapun, kejadian tidak melibatkan sebarang mangsa,” katanya.

Beliau berkata, api berjaya dikawal sepenuhnya pada jam 11.19 malam, sebelum kerja-kerja pemadaman dan pemeriksaan keselamatan dijalankan.

Ahmad Mukhlis turut memaklumkan bahawa siasatan awal mendapati mercun disimpan di hampir keseluruhan kawasan dalam rumah.

Sementara itu, menerusi hantaran tular memaklumkan kebakaran berlaku selepas kedengaran beberapa bunyi letupan kuat, dipercayai daripada mercun, sebelum api merebak dengan pantas. Keadaan itu menyebabkan sebahagian penghuni panik dan bergegas keluar dari blok kediaman demi keselamatan.

“Ada bunyi meletup dan kaca pecah. Lepas itu nampak percikan api sebelum bunyi letupan bertalu-talu. Rupanya dalam rumah itu penuh dengan mercun. Bunyi dia sangat kuat sampai kami yang tinggal di tingkat 25 pun lari masuk rumah,” katanya.

Menurut hantaran sama, kejadian dipercayai berlaku sekitar jam 10.27 malam.

Insiden itu mencetuskan kebimbangan dalam kalangan penduduk mengenai aspek keselamatan dan penyalahgunaan unit kediaman, khususnya melibatkan penyimpanan bahan mudah meletup yang boleh mengancam nyawa penghuni lain.

Sumber: Al Hijrah Online, Thread

🔗 Source: https://thereporter.my/letupan-mercun-punca-kebakaran-unit-tingkat-lapan-pangsapuri/

Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *