Oleh AZRUL RADI
KAJANG 9 Feb – Seorang lelaki warga emas cedera selepas dipercayai dipukul dan diugut susulan kemalangan kecil di kawasan berhampiran lampu isyarat Pekan Suntex, Batu 9 Cheras, di sini, pada 8 Februari 2026.
Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Nazron Abdul Yusof, memaklumkan, pihak polis menerima laporan daripada mangsa, seorang pesara berumur 69 tahun, pada jam 4.49 petang mengenai kejadian yang menimpanya.
KLIK SINI UNTUK TONTON VIDEO PENUH
Menurut beliau, susulan insiden itu, polis telah menahan seorang lelaki warga tempatan berumur 52 tahun, seorang peniaga, pada jam 11.30 malam di kawasan Kajang. Suspek kini ditahan reman selama dua hari bagi membantu siasatan.
Kes disiasat di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum setahun atau denda sehingga RM2,000, atau kedua-duanya, serta Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun sekiranya ugutan melibatkan ancaman bunuh.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian diminta menghubungi balai polis berhampiran atau Pegawai Penyiasat, Sjn Ganesan a/l Ramachandran, di talian 012-6089180.
“Pihak polis juga menasihatkan masyarakat supaya mematuhi undang-undang serta mengamalkan sikap bertanggungjawab bagi memastikan keharmonian dan ketenteraman awam terus terpelihara,” katanya.
🔗 Source: https://www.mediatelus.com/detail/14052

Leave a Reply