PETALING JAYA – Putera Brunei, Pengiran Muda Abdul Mateen mengumumkan baginda dan isteri, Paduka Seri Pengiran Anak Isteri Anisha Rosnah Adam selamat menimang cahaya mata pertama hari ini.
Puteri Anisha dilaporkan selamat melahirkan seorang puteri pada pukul 8.50 pagi.
Kelahiran cucunda Sultan Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah itu disambut dengan penuh istiadat apabila sebanyak 17 das tembakan meriam dilepaskan sebagai tanda kesyukuran dan meraikan detik bersejarah tersebut.
“Pejabat Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dengan ini memaklumkan bahawa Yang Amat Mulia Pengiran Anak Isteri Anisha Rosnah Adam, isteri kepada Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Abdul Mateen ibni Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Muizzaddin Waddaulah, dengan izin Allah SWT selamat meluaran seorang Puteri pada Ahad, 20 Syaaban 1447, bersamaan 8 Februari 2026.
“Dengan meluaran ini sebanyak 17 das tembakan meriam dilepaskan di perkarangan Istana Nurul Iman,” kata kenyataan dipetik daripada Media Permata.
Sebelum ini, Putera Mateen berkongsi kehamilan anakanda sulung pada Oktober tahun lalu.
Putera Mateen merupakan anak ke-10 dan putera keempat Sultan Hassanal Bolkiah dan bekas isteri baginda, Hajah Mariam Abdul Aziz.
Puteri Anisha pula yang merupakan anak kelahiran London merupakan seorang usahawan yang mengusahakan syarikat pakaian sutera dan agensi pelancongan mewah.
Pasangan diraja itu yang merupakan rakan sejak kecil diijab kabul pada 11 Januari 2024. -KOSMO! ONLINE
🔗 Source: https://www.kosmo.com.my/2026/02/08/putera-mateen-timang-puteri-sulung-17-das-meriam-dilepaskan/

Leave a Reply