Seramai 21 Orang Asli termasuk 17 wanita, ditahan pada Isnin kerana disyaki menceroboh tanah milik Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, di Rompin.
Ketua Polis Daerah Rompin, Superintendan Sharif Shai Sharif Mondoi, berkata semua yang ditahan berusia antara 26 hingga 60 tahun. Tindakan itu diambil selepas Balai Polis Kuala Rompin menerima laporan mengenai pencerobohan di tanah milik Sultan Pahang pada hari sama.
“Pengadu adalah wakil syarikat yang dilantik untuk mengusahakan tanah baginda. Berdasarkan laporan, sekumpulan Orang Asli didakwa menceroboh, merosakkan palang besi serta memotong buah kelapa sawit di kawasan ladang seluas 718.281 hektar, tanpa kebenaran,” katanya.
Beliau menambah, tangkapan itu melibatkan empat lelaki dan 17 wanita yang ditahan di kawasan ladang bagi membantu siasatan. Kes disiasat di bawah Seksyen 447 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga enam bulan atau denda tidak melebihi RM3,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.
Selain itu, siasatan turut dijalankan mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan, yang jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara hingga dua tahun atau denda, atau kedua-duanya.
Sharif Shai menegaskan, polis tidak akan berkompromi dengan aktiviti pencerobohan tanah dan menasihati masyarakat supaya memastikan geran pemilikan sah sebelum mengusahakan sebarang tanah.
“Mana-mana pihak perlu mematuhi peraturan dan undang-undang yang berkuat kuasa di negara ini,” katanya.
🔗 Source: https://thereporter.my/21-orang-asli-ditahan-disyaki-ceroboh-tanah-milik-sultan-pahang/

Leave a Reply