KUANTAN 10 Feb – Polis menahan seramai 21 Orang Asli, termasuk 17 wanita, selepas disyaki menceroboh tanah milik Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, di Rompin, semalam.
Ketua Polis Daerah Rompin, Superintendan Sharif Shai Sharif Mondoi berkata, semua individu yang ditahan berusia antara 26 hingga 60 tahun.
Menurutnya, tangkapan dibuat susulan laporan diterima Balai Polis Kuala Rompin pada hari sama berhubung kejadian pencerobohan di kawasan berkenaan.
“Pengadu adalah wakil syarikat yang dilantik mengusahakan tanah milik baginda.
“Berdasarkan laporan diterima, sekumpulan Orang Asli didakwa menceroboh, merosakkan palang besi serta memotong buah kelapa sawit dalam kawasan ladang milik baginda seluas 718.281 hektar, tanpa kebenaran.
“Justeru bagi membantu siasatan, empat lelaki dan 17 wanita Orang Asli ditahan dalam kawasan ladang milik baginda itu kerana disyaki menceroboh tanah,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 447 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga enam bulan atau denda tidak melebihi RM3,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Selain itu, siasatan turut dijalankan mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
“Polis tidak akan berkompromi dengan aktiviti pencerobohan tanah. Mana-mana pihak perlu mempunyai geran pemilikan yang sah untuk mengusahakan tanah.
“Pihak polis menasihati masyarakat supaya mematuhi peraturan dan undang-undang yang berkuat kuasa di negara ini,” katanya.
🔗 Source: https://www.mediatelus.com/detail/14071

Leave a Reply