Buli, ikat budak sebelum sembur dengan api: Empat remaja lelaki direman di JB

JOHOR BAHRU 10 Feb – Polis menahan empat remaja yang dipercayai terbabit dalam kejadian buli di Jalan Mewah, Kampung Melayu Majidee, di sini, susulan penularan satu rakaman video di media sosial.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat berkata, kesemua suspek direman selama empat hari bermula Ahad hingga Rabu bagi membantu siasatan.

Menurutnya, kertas siasatan akan dirujuk kepada Pejabat Timbalan Pendakwa Raya dalam masa terdekat.

“Kes ini diklasifikasikan mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan dan reman terhadap empat orang suspek dibenarkan selama empat hari.

“Kertas siasatan akan dirujuk ke Pejabat Timbalan Pendakwa Raya untuk arahan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Sebelum ini, Raub menerusi satu kenyataan media pada Ahad meminta mangsa serta saksi yang mempunyai maklumat berhubung dakwaan kejadian buli yang tular di Jalan Mewah, Kampung Melayu Majidee supaya tampil membuat laporan polis.

Terdahulu, tular satu rakaman video kamera litar tertutup (CCTV) yang memaparkan seorang kanak-kanak lelaki dipercayai menjadi mangsa buli oleh sekumpulan remaja.

Rakaman berdurasi 23 saat itu menunjukkan kejadian yang dipercayai berlaku kira-kira jam 12.39 tengah malam, melibatkan sekurang-kurangnya empat remaja yang disyaki melakukan perbuatan tersebut terhadap mangsa.

Menerusi rakaman itu, kelihatan pantulan cahaya api dipercayai disembur ke arah mangsa yang berada dalam keadaan terbaring dengan tangan seolah-olah terikat.

Tidak lama kemudian, tiga daripada remaja terbabit dilihat menghampiri mangsa sebelum mengangkatnya, manakala seorang lagi individu dipercayai bertindak sebagai pemantau ketika kejadian.

🔗 Source: https://www.mediatelus.com/detail/14069

Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *