KUALA LUMPUR 10 Feb – Kerajaan dan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki, digesa supaya segera memberikan penjelasan berhubung dakwaan pemilikan saham dalam sebuah syarikat tersenarai di Bursa Malaysia.
Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Dr Puad Zarkashi, berkata perkara itu tidak wajar dilengah-lengahkan kerana melibatkan kepentingan awam dan integriti institusi antirasuah negara.
“Yang ini kerajaan dan Azam Baki kena jawab segera. Jangan tangguh-tangguh.
“Semoga ia dibangkitkan dalam Parlimen. Ini isu kepentingan awam, jangan sapu bawah karpet,” katanya menerusi hantaran di Facebook pada Selasa.
Sebelum ini, Azam dilaporkan memiliki jutaan saham dalam sebuah syarikat perkhidmatan kewangan berdasarkan pemfailan korporat, sekali gus menjadi pendedahan awam terbaharu berkaitan pegangan saham atas namanya sejak kontroversi beberapa tahun lalu yang mencetuskan protes menuntut beliau meletakkan jawatan.
Menurut laporan Bloomberg, Azam, 62, didakwa memiliki 17.7 juta saham dalam Velocity Capital Partner Bhd, sebuah syarikat perkhidmatan kewangan yang tersenarai di Bursa Malaysia.
Pegangan saham itu didedahkan melalui pemfailan tahunan syarikat berkenaan kepada Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) pada 3 Februari tahun lalu.
Berdasarkan harga penutupan saham pada Isnin, nilai pegangan tersebut dianggarkan hampir RM800,000.
Puad turut mempersoalkan sama ada pemilikan saham berkenaan mematuhi peraturan dan etika yang ditetapkan ke atas penjawat awam, khususnya melibatkan jawatan tertinggi dalam SPRM.
“Apakah benar? Apakah ia memang dibenarkan di bawah peraturan penjawat awam? Ini bukan kali pertama Azam Baki terlibat dalam kontroversi pemilikan saham,” katanya.
Isu itu dijangka terus mendapat perhatian susulan kedudukan Azam sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM, selain desakan agar tahap ketelusan dan akauntabiliti penjawat tinggi kerajaan dipertingkatkan.
🔗 Source: https://www.mediatelus.com/detail/14087

Leave a Reply