Kes rasuah RM3 juta, Isa Samad dipenjara enam tahun

Keputusan Mahkamah Persekutuan yang mengekalkan hukuman penjara enam tahun dan denda RM15.45 juta terhadap bekas Pengerusi FELDA, Tan Sri Mohd Isa Samad, dilihat sebagai peringatan tegas bahawa penyalahgunaan kuasa dan rasuah tidak boleh dikompromi walaupun melibatkan tokoh berprofil tinggi.

Kes itu membabitkan sembilan pertuduhan rasuah berjumlah kira-kira RM3 juta berkaitan kelulusan pembelian Merdeka Palace Hotel & Suites (MPHS) di Kuching, Sarawak.

Mahkamah memutuskan sabitan terhadap Mohd Isa wajar dikekalkan selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan beliau menerima suapan berkaitan kelulusan pembelian aset berkenaan, lebih sedekad lalu. Keputusan itu sekali gus membatalkan pembebasan­nya oleh Mahkamah Rayuan pada 2024.

Dalam alasan penghakiman, mahkamah memberi penekanan kepada penggunaan orang tengah bagi mendapatkan dana daripada pihak berkepentingan yang berpotensi mendapat manfaat daripada keputusan pelaburan FELDA.

Panel hakim berpandangan, permintaan dana sedemikian tidak mungkin dibuat tanpa pengetahuan dan kebenaran Mohd Isa, memandangkan beliau memegang kedudukan tertinggi dalam Felda Investment Corporation Sdn Bhd ketika itu.

Mahkamah turut menilai bentuk komunikasi yang digunakan, termasuk penyampaian “salam”, sebagai membawa maksud tersirat yang melangkaui amalan biasa, sekali gus menyokong dapatan bahawa wujudnya permintaan atau desakan bagi pemberian dana.

🔗 Source: https://thereporter.my/kes-rasuah-rm3-juta-isa-samad-penjara-enam-tahun/

Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *