KUALA LUMPUR 10 Feb – Polis kini giat mengesan seorang lelaki yang dilaporkan hilang secara misteri ketika berada di Zon Kuning Jabatan Kecemasan Hospital Kuala Lumpur (HKL) sejak 30 Januari lalu.
Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Sazalee Adam, berkata kehilangan Muhammad Saifuddin Jiket, 51, disedari sekitar jam 2.59 pagi, sebelum laporan polis dibuat pada jam 2.57 petang hari yang sama.
Menurut beliau, mangsa kali terakhir dilihat berada di kawasan Zon Kuning HKL ketika menerima rawatan.
“Muhammad Saifuddin mempunyai ketinggian kira-kira 159 sentimeter dengan berat antara 80 hingga 85 kilogram,” katanya dalam kenyataan.
Tambahnya, ketika kali terakhir dilihat, lelaki berkenaan dipercayai memakai baju hospital berwarna biru muda atau baju-T putih tertera perkataan ‘I Don’t Need Excuse’.
Polis meminta kerjasama orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan keberadaan lelaki itu supaya tampil membantu siasatan.
“Sebarang maklumat boleh disalurkan kepada Balai Polis Daerah Dang Wangi di talian 03-2600 2264 atau mana-mana balai polis berhampiran,” katanya.
Kes kehilangan itu kini dalam siasatan pihak polis.
🔗 Source: https://www.mediatelus.com/detail/14073

Leave a Reply