Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menegaskan pegangan saham bernilai kira-kira RM800,000 yang dimiliki Ketua Pesuruhjayanya, Tan Sri Azam Baki, telah diisytiharkan mengikut prosedur yang ditetapkan dalam perkhidmatan awam.
Menurut SPRM, dakwaan kononnya berlaku kegagalan pengisytiharan harta adalah tidak tepat dan memberi gambaran mengelirukan kepada masyarakat, sekali gus berpotensi menjejaskan keyakinan terhadap institusi penguatkuasaan itu.
SPRM memaklumkan semua penjawat awam tertakluk kepada sistem tadbir urus yang jelas dalam soal pengisytiharan harta. Dalam kes Azam, maklumat berkaitan pemilikan saham, sumber pendapatan serta urusan pemerolehan dan pelupusan aset telah dilaporkan melalui Sistem Pengurusan Maklumat Sumber Manusia (HRMIS) kepada Jabatan Perkhidmatan Awam.
Azam turut menjelaskan bahawa pemilikan saham berkenaan dibuat secara telus dan tidak disembunyikan. Saham tersebut dibeli pada tahun lalu dan telah dilupuskan dalam tempoh tahun yang sama.
Beliau menegaskan semua urusan berkaitan dibuat selaras dengan peraturan serta etika perkhidmatan awam yang sedang berkuat kuasa.
🔗 Source: https://thereporter.my/pegangan-saham-rm800k-azam-baki-diisytiharkan/

Leave a Reply