Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri R. Ramanan, memaklumkan bahawa pekerja sektor swasta boleh memohon kepada majikan masing-masing untuk mengamalkan kerja secara fleksibel, termasuk bekerja dari rumah, selaras dengan inisiatif Aturan Kerja Fleksibel (AKF).
Menurut beliau, AKF diperkenalkan melalui pindaan Akta Kerja 1955, berkuat kuasa pada 1 Januari 2023, serta pindaan Ordinan Buruh Sarawak Bab 76 dan Ordinan Buruh Sabah Bab 67, yang berkuat kuasa mulai 1 Mei 2025. Inisiatif ini menumpukan kepada kebajikan pekerja, keseimbangan kehidupan bekerja dan berkeluarga, serta perlindungan kesihatan mental.
Melalui AKF, pekerja boleh memohon perubahan waktu kerja, hari bekerja, dan tempat bekerja, termasuk waktu kerja anjal atau bekerja dari rumah.
Permohonan tertakluk kepada syarat seperti hari rehat, tempoh masa kerja, hari kelepasan, dan syarat perkhidmatan lain, serta bergantung kepada kesesuaian sektor, jenis pekerjaan, dan persetujuan antara majikan dan pekerja.
Tambah beliau, garis panduan perlaksanaan AKF telah disediakan untuk memberi pemahaman jelas kepada majikan, pekerja, dan kesatuan sekerja.
“Namun begitu, amalan kerja fleksibel termasuk pengaturan kerja dari rumah, work from home atau waktu kerja anjal ini adalah tertakluk kepada kesesuaian sektor, jenis pekerjaan dan persetujuan antara majikan dan pekerja,” katanya.
Dalam sesi pengulungan perbahasan usul Menjunjung Kasih Titah Diraja bagi Kementerian Sumber Manusia di Dewan Rakyat itu, beliau juga menjelaskan kerajaan juga telah melaksanakan pelbagai program untuk menyebarluas maklumat mengenai AKF.
🔗 Source: https://thereporter.my/pekerja-swasta-boleh-mohon-kerja-fleksibel-termasuk-wfh/

Leave a Reply