Sultan Selangor tidak perkenan penternakan babi di mana-mana daerah dalam Selangor

SHAH ALAM 10 Feb – Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah menegaskan pendirian baginda bahawa aktiviti penternakan babi tidak wajar dijalankan di mana-mana daerah di negeri ini kerana berisiko menjejaskan alam sekitar serta keharmonian masyarakat.

Menurut Setiausaha Sulit Sultan Selangor, Datuk Mohamad Munir Bani, dalam satu kenyataan hari ini, baginda bertitah aktiviti berkenaan boleh menyebabkan pencemaran udara akibat bau busuk selain mencemarkan sungai susulan pelepasan najis dan sisa kumbahan.

Dalam kenyataan sama, Mohamad Munir memaklumkan Sultan Selangor turut menyambut baik ucapan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang tidak bersetuju penternakan babi dijalankan di kawasan yang dibantah penduduk tempatan serta berpotensi mencetuskan kontroversi, malah menegaskan aktiviti itu tidak perlu dilaksanakan sekiranya tiada kawasan yang bersesuaian, khususnya di Selangor.

“Sebagai contoh, cadangan penternakan babi di Bukit Tagar di daerah Hulu Selangor yang juga kawasan pendudukan orang Melayu dan kawasan FELDA, pastinya menerima bantahan daripada penduduk Melayu di kawasan tersebut dan persekitarannya.

“Ia juga boleh mengakibatkan pencemaran kepada kawasan tadahan air dan juga sungai yang membekalkan sumber air bersih kepada penduduk di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya,” menurut kenyataan itu.

Mohamad Munir berkata, walaupun pencemaran udara dan sungai boleh diatasi melalui kaedah penternakan moden, ia memerlukan kos yang tinggi dan tidak realistik untuk ditanggung oleh mana-mana pihak yang menternak bagi tujuan bekalan daging babi di negeri ini.

“Tiada jaminan bahawa penternakan moden tidak akan menyebabkan pencemaran air di kawasan tadahan air serta sungai yang menjadi punca air bersih kepada penduduk di Lembah Klang. Selain itu, penternakan babi berskala besar atau kecil juga tidak sesuai dilaksanakan di Selangor kerana sumber tanah terhad.

“Ini ditambah pula dengan faktor nilai hartanah tinggi yang sewajarnya digunakan untuk tujuan yang lebih ekonomi dan boleh dimanfaatkan oleh masyarakat. Justeru, baginda menyarankan agar pihak kerajaan dapat memberi lesen untuk pengimportan daging babi bagi menampung permintaan dan keperluan orang bukan Islam, khususnya kaum Cina di Selangor sahaja.

“Dengan kaedah ini, ia bukan sahaja dapat menyelesaikan isu penternakan babi yang sudah lama berlaku, malah dalam masa yang sama, kerajaan negeri boleh mengoptimumkan penggunaan tanah bagi tujuan lain seperti pembangunan dan penempatan,” katanya.

Sultan Selangor turut menegaskan supaya isu penternakan babi dihentikan dan dimuktamadkan kerana ia menimbulkan keresahan pelbagai pihak serta boleh menjejaskan keamanan dan keharmonian masyarakat.

Sehubungan itu, Mohamad Munir mengajak semua pihak menghormati titah baginda dan bersama-sama memelihara perpaduan serta keharmonian masyarakat di Selangor.

🔗 Source: https://www.mediatelus.com/detail/14081

Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *