KUALA LUMPUR 10 Feb – Selepas hampir 132,000 tiket tren elektrik (ETS) habis terjual, Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) mengumumkan penawaran 12,600 tiket tambahan bagi laluan KL Sentral–JB Sentral–KL Sentral, yang mula dijual tengah malam ini.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, berkata langkah itu diambil bagi menampung permintaan luar biasa tinggi sempena perayaan Tahun Baharu Cina, melibatkan tempoh perjalanan 13 hingga 22 Februari.
Menurut beliau, penambahan kapasiti itu menjadi realiti selepas set tren ETS3 ketujuh menerima kelulusan untuk beroperasi.
“Sukacita saya umumkan, sebanyak 12,600 tiket tambahan bagi sektor KL Sentral–JB Sentral–KL Sentral akan mula dijual pada 12.15 tengah malam, menggunakan set ETS3 ketujuh yang baru diluluskan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Ahli Parlimen Ipoh Timor di Dewan Rakyat, berhubung status penjualan tiket ETS dan Ekspres Timuran sempena musim perayaan.
Dalam perkembangan sama, Loke memaklumkan KTMB turut memperkenalkan perkhidmatan baharu EMU Plus buat kali pertama bagi laluan KL Sentral–Ipoh–KL Sentral, menggunakan tren Six Car Set (SCS).
Katanya, perkhidmatan itu menawarkan 7,344 tempat duduk tambahan dan akan beroperasi pada 13 hingga 15 Februari serta 20 hingga 22 Februari, dengan kadar jualan semasa sudah mencecah 43 peratus.
Secara keseluruhan, Loke berkata KTMB menyediakan 46,404 tiket tambahan sempena Tahun Baharu Cina tahun ini, peningkatan mendadak 426 peratus berbanding hanya 8,820 tiket pada tahun lalu.
“Peningkatan ketara pada 2026 ini disumbang oleh penambahan tujuh set ETS3 serta pengoperasian tren ETS yang hampir 24 jam sepanjang tempoh perayaan,” katanya.
Sementara itu, bagi persiapan Aidilfitri, Loke berkata sebanyak 118,823 tiket atau 53 peratus daripada 224,196 tempat duduk bagi tempoh 13 hingga 29 Mac telah terjual setakat ini.
Menurut beliau, pengumuman tiket tren tambahan bagi Aidilfitri hanya akan dibuat sekiranya tiket sedia ada habis terjual sepenuhnya.
🔗 Source: https://www.mediatelus.com/detail/14080

Leave a Reply