KOTA KINABALU 10 Feb – Sebuah kenderaan mewah jenis Toyota Supra 3.0L milik seorang ahli perniagaan disita Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Sabah dalam operasi khas di Jalan Tuaran, di sini, pada Isnin.
Pengarah JPJ Sabah, Datuk Mohd Harris Ali, berkata sitaan dilakukan menerusi Ops Khas Luxury yang dilaksanakan bagi membanteras pelanggaran undang-undang jalan raya membabitkan kenderaan bernilai tinggi.
Menurut beliau, pemeriksaan mendapati Lesen Kenderaan Motor (LKM) bagi kenderaan berkenaan telah tamat tempoh selain tidak mempunyai perlindungan insurans yang sah.
“Selain itu, kenderaan terbabit juga didapati tidak mematuhi spesifikasi nombor pendaftaran yang ditetapkan,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.
Beliau berkata, kesalahan tersebut melibatkan pelanggaran Seksyen 23(1) dan Seksyen 90(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333).
Sehubungan itu, kenderaan berkenaan disita untuk tindakan lanjut mengikut peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa.
Mohd Harris menegaskan, JPJ Sabah akan meneruskan operasi secara berterusan dan tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pihak yang melanggar peraturan jalan raya.
“JPJ tidak teragak-agak mengambil tindakan tegas termasuk pendakwaan di mahkamah terhadap individu yang gagal mematuhi undang-undang,” katanya.
🔗 Source: https://www.mediatelus.com/detail/14074

Leave a Reply