Budak 11 tahun maut, dua lagi kritikal dipercayai diberi minum methadone oleh ibu kandung di Kajang

KAJANG 11 Feb – Seorang kanak-kanak lelaki berusia 11 tahun maut selepas dipercayai diberi minum cecair berbahaya jenis methadone oleh ibunya dalam kejadian di Sungai Ramal Baru, di sini pada Rabu.

Dalam kejadian itu, dua lagi adik mangsa masing-masing berusia sembilan dan lima tahun kini dirawat di unit rawatan rapi (ICU).

Kejadian berkenaan dipercayai terbongkar selepas ketiga-tiga kanak-kanak terbabit dihantar ke hospital dalam keadaan tidak sedarkan diri.

Difahamkan, polis menerima maklumat berhubung insiden itu pada jam 9.01 pagi susulan laporan dibuat pegawai perubatan Hospital Tengku Permaisuri Norashikin (HTPN).

Menurut sumber, pihak hospital sebelum itu menerima tiga pesakit kanak-kanak lelaki pada jam 7.50 pagi dalam keadaan tidak sedarkan diri bagi mendapatkan rawatan kecemasan.

Bagaimanapun, kanak-kanak lelaki berusia 11 tahun itu disahkan meninggal dunia, manakala adiknya yang berusia lima tahun ditempatkan di ICU dan seorang lagi menerima rawatan di Zon Merah Unit Kecemasan.

Siasatan awal mendapati kejadian dipercayai berlaku selepas ibu mangsa yang berusia 35 tahun memberi ubat jenis methadone kepada ketiga-tiga anaknya.

Sementara itu, Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar ketika dihubungi mengesahkan kejadian berkenaan.

🔗 Source: https://www.mediatelus.com/detail/14107

Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *