DAP desak siasatan bebas terhadap Azam Baki isu pemilikan saham

KUALA LUMPUR 11 Feb – DAP menggesa kerajaan supaya segera menjalankan siasatan bebas terhadap Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki susulan pendedahan berhubung pemilikan sahamnya dalam beberapa syarikat.

Pengerusi Biro Undang-Undang DAP, Ramkarpal Singh berkata, siasatan itu perlu dikendalikan pihak ketiga yang bebas memandangkan prinsip keadilan menetapkan seseorang tidak boleh menjadi hakim dalam kesnya sendiri.

Menurutnya, isu berkenaan melangkaui soal pengisytiharan aset semata-mata, sebaliknya menyentuh teras integriti dan ketelusan SPRM sebagai institusi penguat kuasa utama negara.

“Walaupun Azam menafikan sebarang salah laku berhubung sahamnya dalam Velocity Capital Partner Bhd dan menegaskan telah membuat pengisytiharan sewajarnya, beliau masih belum mengulas mengenai dakwaan pemilikan saham dalam Awanbiru Technology Bhd.

“Tidak syak lagi kedua-dua perkara ini mesti disiasat lanjut oleh pihak ketiga yang bebas kerana jelas bahawa Azam tidak boleh menjadi hakim dalam kesnya sendiri,” katanya dalam hantaran di Facebook pada Rabu.

Terdahulu, media melaporkan Azam didakwa memiliki pegangan dalam Awanbiru berdasarkan rekod Suruhanjaya Syarikat Malaysia, sekali gus mencetuskan persoalan sama ada pemilikan tersebut mematuhi peraturan had ekuiti penjawat awam.

Sebelum ini, Bloomberg turut melaporkan Azam, 62, memiliki 17.7 juta saham dalam Velocity Capital Partner Bhd, sebuah syarikat perkhidmatan kewangan tersenarai di Bursa Malaysia, berdasarkan pemfailan tahunan kepada Suruhanjaya Syarikat Malaysia pada 3 Februari tahun lalu. Nilai pegangan itu dianggarkan hampir RM800,000 berdasarkan harga penutupan dagangan Isnin lalu.

Ramkarpal yang juga Ahli Parlimen Bukit Gelugor turut mempersoalkan sama ada pembelian saham berkenaan melebihi had nilai yang dibenarkan kepada penjawat awam mengikut pekeliling tatatertib perkhidmatan awam.

Beliau turut membangkitkan persoalan mengenai tempoh pembelian dan pelupusan saham yang didakwa berlaku dalam masa singkat, selain mengaitkannya dengan isu pembelian saham terdahulu pada 2021 yang pernah mencetuskan kontroversi.

Menurutnya, keyakinan awam terhadap SPRM hanya dapat dipertahankan sekiranya siasatan telus dijalankan, termasuk mempertimbangkan agar Azam direhatkan sementara bagi memberi ruang kepada proses siasatan yang adil.

“Kerajaan tidak boleh mengabaikan perkara ini kerana integriti institusi mesti menjadi keutamaan tertinggi dan segala usaha perlu dilakukan untuk melindungi imejnya,” katanya.

🔗 Source: https://www.mediatelus.com/detail/14111

Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *