‘Doa anak lagi penting’ – Didie Alias tak kisah dikecam dedah aurat

KUALA LUMPUR – Lali dengan kecaman, selebriti versatil Didie Alias tidak lagi berasa kecil hati apabila masih menjadi sasaran kecaman netizen termasuk teguran mengenai penampilannya yang tidak berhijab.

“Setiap kali saya membuat siaran langsung, memang banyak komen negatif. Ada yang masuk ‘live’ dan kecam macam-macam, termasuk kata-kata kasar.

“Saya sudah biasa. Bagi saya senang saja, kalau tak elok, saya sekat. Habis cerita,” katanya kepada Kosmo! Online ketika ditemui pada sidang media Puasa Tetap Puasa, Raya Tetap Raya RTM 2026 di sini, semalam.

Ujarnya, kata-kata positif dan semangat daripada anak-anak membuatkannya kuat setiap kali berdepan kecaman.

“Baru-baru ini, saya ada penggambaran untuk sebuah jenama fesyen.

“Anak-anak tengok dan mereka kata, ‘cantiknya mummy’. Dalam ‘group’ WhatsApp pun mereka saling mendoakan saya.

“Bagi saya, doa-doa daripada anak itulah yang paling penting,” katanya lagi.

Berkongsi mengenai harapan ramai yang mahu melihat dirinya berhijrah termasuk memakai tudung, dia menyerahkan segala-galanya pada Allah SWT selain terus berdoa diberi hidayah pada waktu yang tepat.

“Saya percaya semua yang berlaku adalah dengan izin-Nya. Kalau tiba-tiba Allah bukakan pintu baharu untuk saya, itulah rezeki.

“Segalanya sudah tertulis di tangan Dia. Setiap hari saya berdoa, minta anak-anak doakan saya juga.

“Mungkin masa saya akan tiba, cuma bila, saya sendiri tak tahu. Insya-Allah,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE

🔗 Source: https://www.kosmo.com.my/2026/02/11/doa-anak-lagi-penting-didie-alias-tak-kisah-dikecam-dedah-aurat/

Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *