KUALA LUMPUR 11 Feb – Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Md Yunos berjaya melelong sebelah selipar dan tuala miliknya bagi melunaskan baki kos penghakiman tertunggak berjumlah RM66,061.85 kepada Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok.
Jamal berkata, kedua-dua barangan tersebut digunakan dalam satu demonstrasi semasa Selangor menghadapi isu tertentu ketika era Datuk Seri Azmin Ali menjadi Menteri Besar.
“Alhamdulillah, hari ini dua barang itu berjaya dilelong dan dibida sebanyak RM66,000. Sepatutnya hari ini ada lelongan mahkamah atas tuntutan Teresa Kok, tetapi semalam anak saya berjaya dapatkan penangguhan arahan terbabit. Bagaimanapun, lelongan selipar dan tuala diteruskan supaya kami boleh bayar kepada Teresa Kok,” katanya dalam rakaman video berdurasi tiga minit 16 saat di Facebook miliknya, hari ini.
Jamal menjelaskan terdapat dua pembida yang membeli barangan berkenaan, termasuk seorang individu dari Negeri Sembilan yang membeli tuala dan seorang lagi dari Sabah yang membeli sebelah seliparnya dengan harga RM33,000. Individu berkenaan turut memaklumkan akan menghantar selipar itu kepada pejabat Teresa Kok dalam waktu terdekat.
Beliau menegaskan, wang hasil lelongan itu akan diserahkan kepada Teresa sebaik diterima. “Insya-Allah, kes ini akan kami selesaikan sebaik dapat duit,” katanya.
Jamal juga menyatakan keyakinannya bahawa tindakan itu adalah usaha untuk mendapatkan kembali maruah yang beliau rasakan dicemarkan oleh tindakan Teresa mendapatkan perintah mahkamah. Menurutnya, rumahnya pernah dipecah masuk oleh pegawai mahkamah dan anggota polis ketika menjalankan tugas berdasarkan perintah mahkamah.
Perlu diingat, pada 28 Januari lalu, Teresa Kok menyerahkan notis sitaan dan memecahkan tombol serta kunci pintu dapur kediaman Jamal di Ampang sebelum menukarnya kepada yang baharu. Perintah Mahkamah Tinggi sebelum ini membolehkan Teresa menyita harta alih milik Jamal untuk mendapatkan jumlah penghakiman tertunggak RM66,061.85.
Writ penyitaan dan penjualan harta alih itu diperoleh Teresa sebagai pemiutang penghakiman terhadap Jamal yang dinamakan sebagai penghutang penghakiman.
🔗 Source: https://www.mediatelus.com/detail/14103

Leave a Reply