Kedudukan Malaysia dalam Indeks Persepsi Rasuah (CPI) dunia mencatat peningkatan apabila melonjak ke tangga ke-54, sekali gus mencerminkan keberkesanan usaha berterusan Kerajaan MADANI dalam membanteras rasuah secara sistemik serta membetulkan kelemahan struktur tadbir urus negara.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pencapaian itu didorong oleh tindakan penguatkuasaan tegas melibatkan beberapa agensi utama, termasuk Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM).
Menurut beliau, hasil daripada tindakan bersepadu itu, kerajaan berjaya memulihkan lebih RM15.5 bilion hasil negara menerusi rampasan aset, dana serta pembanterasan sindiket rasuah dan ketirisan yang sekian lama menjejaskan kewangan awam.
Kerajaan MADANI juga, katanya, tidak berkompromi apabila integriti institusi strategik negara dipersoalkan.
“Tindakan tegas telah diambil terhadap kes salah laku dan penyelewengan, termasuk dalam sektor pertahanan, selain pembongkaran kartel serta kes rasuah berprofil tinggi menegaskan prinsip bahawa tiada sesiapa yang kebal daripada undang-undang,” katanya.
Beliau menegaskan, peningkatan kedudukan Malaysia dalam CPI bukan sekadar satu pencapaian, sebaliknya menjadi peringatan kepada semua pihak agar terus menggandakan usaha memerangi rasuah secara konsisten dan berani.
“Pencapaian ini juga adalah peringatan untuk kita menggandakan usaha memerangi rasuah secara konsisten dan berani, demi memulihkan keyakinan rakyat serta memastikan amanah negara terus dipertahankan,” tegas beliau.
🔗 Source: https://thereporter.my/malaysia-lonjak-ke-kedudukan-54-cpi-dunia-pm/

Leave a Reply