TAPAH 11 Feb – MIC bersama Malaysia Hindu Sangam (MHS) akan menubuhkan satu jawatankuasa khas bagi memantau serta membantu menyelesaikan isu pembinaan rumah ibadat di atas tanah tanpa kebenaran, termasuk bertindak sebagai mediator antara pihak terlibat.
Timbalan Presiden MIC, Datuk Seri M Saravanan berkata, pendekatan berhemah perlu diambil sekiranya melibatkan keperluan pemindahan rumah ibadat, termasuk memberi ruang dan masa kepada pihak berkaitan untuk mencari lokasi alternatif.
“Kita akan tubuhkan satu jawatankuasa untuk memantau dan membantu. Jika tanah itu bukan hak milik rumah ibadat, kita boleh menjadi perantara antara pihak kuil dan tuan tanah bagi mencari jalan penyelesaian.
“Mungkin jika perlu dipindahkan, ia dilakukan secara berhemah dan diberi masa untuk mencari tanah alternatif. Bagaimanapun, jika tuan tanah mahu semula tanah tersebut, ia perlu diserahkan dan tidak boleh dituntut sebagai milik sendiri,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan Majlis Apresiasi Kecemerlangan Sijil Pelajaran Malaysia 2024, Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia 2025 dan Dermasiswa IPTA/IPTS Parlimen Tapah di Dewan Merdeka, pada Rabu.
Dalam pada itu, Saravanan yang juga Ahli Parlimen Tapah menegaskan pendiriannya bahawa pembinaan rumah ibadat di atas tanah milik pihak lain tanpa kebenaran adalah tidak wajar.
“Sebagai wakil rakyat dan pemimpin masyarakat, saya tidak bersetuju jika sesiapa membina tokong di atas tanah orang lain tanpa izin. Jika berlaku, tindakan perlu diambil oleh kerajaan, pihak berkuasa tempatan dan pemilik rumah ibadat itu sendiri,” katanya.
Menurut beliau, masyarakat India di Malaysia juga tidak menyokong pembinaan rumah ibadat tanpa kebenaran.
“Saya mahu kerajaan dan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memahami bahawa pendirian masyarakat India jelas, iaitu tidak menyokong mana-mana individu membina tokong di atas tanah orang lain tanpa izin. Itu adalah salah,” katanya.
🔗 Source: https://www.mediatelus.com/detail/14112

Leave a Reply