Seorang bekas Setiausaha Politik kepada bekas Ketua Menteri Melaka bersama isterinya akan direman pada hari ini bagi membantu siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung dakwaan meminta dan menerima rasuah kira-kira RM3 juta.
Memetik laporan Berita Harian, pasangan suami isteri itu ditahan kira-kira jam 2 petang semalam ketika hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat SPRM di sini. Mereka dijangka dibawa ke Mahkamah Majistret Putrajaya hari ini untuk permohonan reman.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki ketika mengesahkan tangkapan berkenaan. Beliau berkata, kes disiasat mengikut Akta SPRM 2009 dan kedua-dua suspek akan dibawa ke mahkamah bagi proses lanjut.
Siasatan awal SPRM mendapati suspek lelaki yang bergelar Datuk Wira itu dipercayai melakukan perbuatan berkenaan antara Februari hingga November 2021. Pasangan terbabit disyaki meminta dan menerima rasuah sebagai balasan membantu sebuah syarikat mendapatkan lantikan sebagai konsesi projek penambakan laut di sekitar Melaka.
Difahamkan, wang rasuah yang diterima itu dipercayai digunakan untuk membeli sebuah unit kondominium di sekitar Lembah Klang.
🔗 Source: https://thereporter.my/bekas-setiausaha-politik-ditahan-bantu-siasatan-rasuah-rm3-juta/

Leave a Reply