Ikan mati secara tiba-tiba di Sungai Ramal, lelaki dakwa berlaku pencemaran

Kematian sejumlah besar ikan secara tiba-tiba di Sungai Ramal, Kajang menimbulkan kebimbangan ramai. Menerusi hantaran di Facebook Jejak Air Tawar, seorang lelaki mendedahkan bahawa dia menerima maklumat mengenai penemuan banyak bangkai ikan di sungai berkenaan.

Menurutnya, turut ditemui ialah bangkai seekor ular sawa, sekali gus menimbulkan kemungkinan berlaku pencemaran serius terhadap kualiti air sungai tersebut. Keadaan itu dibimbangi boleh memberi kesan lebih besar memandangkan Sungai Ramal mengalir keluar ke Sungai Langat yang sebelum ini juga kerap berdepan isu pencemaran.

“Saya terima maklumat bahawa banyak ikan telah mati secara tiba-tiba di Sungai Ramal, Kajang pada hari ni, turut ditemui ialah bangkai ular, kemungkinan air sungai ini telah tercemar teruk.

“Sungai Ramal mengalir keluar ke Sungai Langat, keadaan ini merisaukan kerana di Sungai Langat sendiri kerap berlaku pencemaran dari beberapa punca,” katanya.

Dia mendakwa spesies ikan yang ditemui mati kebanyakannya terdiri daripada ikan pendatang seperti Tilapia, ikan Bandaraya, Lampam Jawa dan Jaguar Cichlid.

“Tiada kelibat spesies tempatan ditemui setakat ini, kecuali ular sawa berkenaan,” jelasnya.

Bagaimanapun, beliau memaklumkan sungai itu masih mempunyai populasi kecil ikan tempatan seperti Puyu dan Haruan yang dipercayai lebih tahan lasak.

Sehubungan itu, lelaki berkenaan menggesa Jabatan Alam Sekitar (JAS) agar menjalankan siasatan segera bagi mengenal pasti punca kejadian dan mengambil tindakan sewajarnya terhadap mana-mana pihak yang didapati bersalah. ‘

🔗 Source: https://thereporter.my/ikan-mati-sungai-ramal-kajang-dakwa-pencemaran/

Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *