IKMA perlu terus perkasa peranan 16,000 koperasi seluruh negara – KUSKOP

KUALA LUMPUR 12 Feb – lInstitut Koperasi Malaysia (IKMA) digesa terus memperkukuh peranannya dalam membimbing dan memperkasa gerakan koperasi negara yang kini melibatkan lebih 16,000 koperasi serta jutaan anggota di seluruh negara.

Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan Dan Koperasi (KUSKOP), Datuk Mohamad Alamin berkata, dalam tempoh 70 tahun penubuhannya, IKMA telah menunjukkan kematangan yang signifikan sebagai institusi latihan dan pembangunan koperasi negara.

Beliau berkata demikian ketika menghadiri program JOM-KOOP sempena Sambutan Jubli Platinum 70 Tahun IKMA di sini hari ini.

“Tempoh 70 tahun ini mencerminkan satu perjalanan yang panjang dan matang. IKMA perlu terus memainkan peranan lebih hebat dalam membimbing pengarah-pengarah koperasi di seluruh negara.

“Kita mempunyai 16,000 koperasi dengan jutaan anggota. Ini satu sektor yang besar dan signifikan kepada ekonomi negara, justeru peranan IKMA amat penting untuk memastikan tadbir urus dan pengurusan koperasi terus diperkasakan,” katanya.

Dalam perkembangan sama, beliau turut menyifatkan langkah IKMA mewujudkan Universiti Keusahawanan Koperasi Malaysia (UKKM) sebagai satu inisiatif proaktif dan strategik dalam mengangkat martabat gerakan koperasi ke tahap lebih tinggi.

Menurutnya, penubuhan universiti itu bukan sahaja bertujuan melahirkan usahawan koperasi, malah membentuk koperasi yang lebih bertanggungjawab dan berupaya menyumbang secara signifikan kepada pertumbuhan ekonomi negara.

“UKKM menjadi platform yang tepat untuk kita mengangkat martabat koperasi bukan sekadar sebagai entiti perniagaan, tetapi sebagai institusi yang bertanggungjawab kepada negara serta berperanan dalam pembangunan ekonomi dan sosial,” katanya.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada IKMA atas inisiatif berkenaan serta menekankan kepentingan kerjasama strategik antara IKMA dan agensi di bawah KUSKOP, termasuk Bank Rakyat dan Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM).

Kerjasama itu, katanya, melibatkan aspek penajaan dan sokongan kepada mahasiswa yang melanjutkan pengajian di UKKM bagi memastikan lebih ramai anak muda terlibat dalam bidang keusahawanan koperasi.

“Kita akan memperhebatkan usaha memperluas pengambilan mahasiswa dari seluruh negara supaya impaknya lebih meluas. Apabila lebih ramai graduan dilahirkan dalam bidang ini, pengiktirafan terhadap peranan koperasi dalam ekonomi dan pembangunan sosial negara juga akan meningkat,” katanya.

Beliau berkata, gerakan koperasi bukan sahaja penting dalam menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi, malah berperanan besar dalam memperkukuh keusahawanan sosial serta kesejahteraan masyarakat.

Sehubungan itu, beliau berharap sambutan JOM-KOOP dan Jubli Platinum 70 Tahun IKMA akan menjadi pemangkin kepada usaha memperkasakan lagi sektor koperasi dan keusahawanan negara pada masa akan datang.

🔗 Source: https://www.mediatelus.com/detail/14137

Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *