Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing menegaskan layanan dan sikap rakyat Malaysia perlu benar-benar mencerminkan negara yang mesra, selari dengan pelancaran Kempen Mesra Malaysia..
Menurut beliau, industri pelancongan tidak seharusnya hanya tertumpu kepada angka ketibaan pelancong atau kempen promosi semata-mata, sebaliknya perlu memberi penekanan kepada nilai kemanusiaan, adab dan kualiti perkhidmatan.
“Terlalu banyak aduan saya terima daripada pelancong, malah rakyat tempatan sendiri yang merasakan mereka dilayan dengan kasar, dipandang rendah atau tidak diberi penjelasan sewajarnya,” katanya.
Dalam kenyataan di hantaran Facebook itu, Tiong secara tegas mengingatkan agar tiada lagi budaya ‘tunjuk kuasa’ dalam kalangan pegawai dan petugas barisan hadapan.
“Kita tidak boleh ada budaya ‘tunjuk kuasa’. Pegawai semua mesti sedia berkhidmat, bukan untuk membuat rakyat atau pelancong rasa terpinggir,” katanya sambil memaklumkan beliau telah mengarahkan semua ketua jabatan dan kementerian mengambil isu berkenaan secara serius.
Beliau berkata, perkara itu bukan isu kecil, sebaliknya melibatkan imej negara di mata dunia.
Menurutnya, sepanjang sesi walkabout dan turun padang, beliau sendiri mendengar rungutan pelancong termasuk ada yang dimarahi di stesen tren, tidak dilayan dengan baik dalam bas hop-on hop-off serta menerima jawapan sinis apabila bertanya soalan.
“Jika perkara asas seperti ini pun kita gagal uruskan, bagaimana kita mahu meyakinkan dunia bahawa Malaysia benar-benar bersedia menyambut mereka?” soalnya.
Beliau berkata, sehingga Januari 2026, seramai 9,498 pemandu pelancong berdaftar di bawah Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC). Bagi tempoh 2024 hingga 2025 sahaja, sebanyak 158 siri Kursus Mesra Malaysia telah dilaksanakan melibatkan 4,932 petugas barisan hadapan.
Namun, Tiong mengakui jumlah tersebut masih belum mencukupi.
“Lima ribu orang masih belum mencukupi. Kita perlukan perubahan sikap secara menyeluruh, tidak kira dalam kerajaan mahupun sektor swasta,” katanya.
Beliau menegaskan Kempen Mesra Malaysia bukan sekadar inisiatif untuk tahun 2026, sebaliknya perlu dijadikan budaya berterusan dalam masyarakat.
Katanya, sikap mesra bukan sahaja kepada pelancong asing, malah kepada rakyat sendiri termasuk penduduk kampung yang datang ke bandar, pelanggan di pusat membeli-belah dan sesiapa sahaja yang berurusan.
Tiong turut menghargai sokongan pelbagai pihak termasuk agensi barisan hadapan, namun menegaskan kejayaan kempen itu memerlukan komitmen menyeluruh daripada semua pihak termasuk pengusaha pusat beli-belah, pemandu pelancong, pengendali pengangkutan awam, pegawai imigresen, polis serta setiap individu yang membawa nama Malaysia.
“Imej negara bukan dibina melalui slogan. Ia dibina melalui sikap kita setiap hari. Marilah kita buktikan bahawa Malaysia bukan sekadar indah pada destinasi, tetapi indah pada layanan dan hati budinya,” katanya.
🔗 Source: https://thereporter.my/menteri-tegur-layanan-kurang-mesra-rakyat-kepada-pelancong/

Leave a Reply