Minggu ini KL sesak luar biasa, dari 30 minit jadi 2 jam

KUALA LUMPUR – Ibu negara berdepan kesesakan lalu lintas luar biasa sejak beberapa hari lalu apabila beberapa laluan utama dilaporkan mengalami kesesakan teruk pada awal pagi sehingga malam.

Tinjauan mendapati aliran trafik dilaporkan perlahan di Lebuh Raya Persekutuan menghala ke pusat bandar, Lebuh Raya Kuala Lumpur-Seremban, Jalan Tun Razak, Jalan Ampang dan beberapa laluan di sekitar Bangsar dan Damansara.

Rata-rata pengguna jalan raya meluahkan rasa kecewa apabila perjalanan yang biasanya mengambil masa setengah jam kini menjadi lebih satu jam berikutan pertambahan jumlah kenderaan dan beberapa insiden kemalangan kecil.

Seorang pengguna Facebook, Faiz berkata, dia tiba lewat hampir 30 minit ke tempat kerja gara-gara terperangkap dalam kesesakan di Lebuh Raya Duta–Ulu Klang (Duke) hari ini.

“Selalu (biasanya) dari Setapak ke Kota Damansara (ambil masa) dalam 30 minit, hari ini lebih sejam hadap sesak. Lain macam betul sesak di KL (Kuala Lumpur),” katanya.

Pada masa sama, ada juga pengguna dari Bangi menuju ke pusat bandar terpaksa menempuh perjalanan hampir dua jam ekoran trafik tinggi selepas Plaza Tol Sungai Besi.

Berdasarkan kemas kini status trafik semua lebuh raya bertol oleh Lembaga Lebuhraya (LLM) setakat pukul 11.24 pagi tadi, secara keseluruhannya keadaan mulai terkawal, namun masih terdapat pergerakan perlahan di beberapa lokasi utama khususnya melibatkan laluan masuk ke pusat bandar.

Di Lebuh Raya Utara-Selatan arah utara, trafik bergerak perlahan dari Plaza Tol Sungai Besi menuju ke pusat bandar selain di Jasin ke Ayer Keroh serta Simpang Renggam ke Machap.

Arah selatan pula sesak dari Sedenak ke Kulai dan Dato’ Onn ke Persimpangan Pasir Gudang.

Sementara itu, di Lebuh Raya Baru Lembah Klang (NKVE) arah utara, kesesakan dilaporkan dari Setia Alam ke Shah Alam serta Subang ke Damansara.

Turut perlahan di Lebuh Raya Shah Alam (Kesas) melibatkan laluan Plaza Tol Kota Kemuning ke Hicom dan Seafield ke Kewajipan (arah timur) selain Kinrara ke susur masuk Puchong Jaya (arah barat).

Di Lebuh Raya Utara-Selatan Hubungan Tengah (Elite) trafik perlahan arah utara dari Putrajaya ke Shah Alam, manakala di Lebuh Raya Cheras Kajang (Grand Saga) melibatkan laluan Bandar Tun Hussein Onn ke Taman Connaught.

Selain itu, kesesakan turut dikesan di Lebuh Raya Sungai Besi (Besraya) dari Bandar Tasik Selatan ke Persimpangan Kuchai serta dari Persimpangan Kuchai dan Plaza Tol Loke Yew ke susur keluar Jalan Istana.

Di Lebuh Rata Baru Pantai (NPE), trafik perlahan dari Pantai Dalam ke Lembah Pantai, manakala Lebuh Raya Damansara Puchong (LDP) menyaksikan kesesakan dari Puchong Utama ke Jambatan Kabel serta Jalan Majlis ke SS2 (arah utara) selain Penchala ke SS2 (arah selatan). – KOSMO! ONLINE

🔗 Source: https://www.kosmo.com.my/2026/02/12/kl-sesak-luar-biasa-dari-30-minit-jadi-2-jam/

Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *